Alun lagu ketuhanan

KEBERKATAN bulan Ramadan sememangnya dinanti-nantikan seluruh umat Islam di dunia. Sepanjang bulan penuh mulia ini juga adalah masa tepat untuk menyejukkan hati dengan alunan lagu ketuhanan yang indah.

Itu juga misi penyanyi, Alif Satar dan kumpulan nasyid legenda, Raihan apabila tampil dengan lagu duet berjudul Damba CintaMu.

Keserasian mereka terus kekal selepas gandingan pertama menerusi lagu Sesungguhnya 2019 yang meninggalkan impak luar biasa.

Menurut Alif, dia sentiasa berbesar hati dapat bekerja dengan kumpulan disanjungnya itu. Ada sebab dia memilih lagu berkenaan sebagai pertaruhan duet kedua mereka.

“Saya memilih lagu ini disebabkan ia antara lagu kegemaran saya setiap kali mendengar lagu Raihan. Diakui liriknya cukup memberi kesan keinsafan dalam mencari cinta kepada Tuhan.

“Walaupun ini bukan lagu baru, namun peluang berduet bersama Raijan sememangnya cukup saya nantikan. Harus diakui peluang ini cukup menjadi kebanggaan peribadi disebabkan Raihan bukan calang-calang nama,” katanya.

Apa yang pasti, Alif tidak mahu versi baharu lagu itu dirakamkan sekadar suka-suka. Sebaliknya, dia ingin memastikan keseluruhan lagu berkenaan mampu meninggalkan kesan mendalam di hati setiap pendengar.

Disebabkan itu, dia turut berusaha menampilkan elemen segar dengan sentuhan tersendiri bagi menaikkan lagi serinya.

Menurut Alif, suntikan bunyi setiap peralatan muzik yang digunakan membawa maksud tersendiri.

“Melodi asalnya yang menggunakan elemen ‘acapella’ sejujurnya sudah sedia indah. Bagaimanapun, untuk memberi impak lebih kuat, saya bersama band The Locos memberi pembaharuan terhadap susunan muzik kali ini.

DAMBAKAN CintaMu sebuah lagu yang sangat mendalam.
DAMBAKAN CintaMu sebuah lagu yang sangat mendalam.

“Paling kami tekankan adalah penggunaan alat muzik yang sempurna tanpa berlebihan. Baik daripada dinamik bunyi dram, kesesuaian bunyi gitar utama dan bass serta clarinet yang melodinya seakan menangis,” katanya.

Alif juga teruja lagu Dambakan CintaMu menyimpan banyak cerita tersendiri sepanjang pembikinannya

Biarpun belum sempat merakamkan video muzik rasmi, Alif berkata, banyak elemen menarik bakal ditayangkan dalam video itu kelak.

“Kami belum sempat menyiapkan video muzik lagu ini. Namun, video lirik boleh ditonton pada 27 April ini menerusi platform YouTube. Menariknya, lirik video kali ini seolah-olah ada kena-mengena dengan situasi yang kita sedang lalui sekarang.

“Sari kata dalam bahasa Inggeris juga disediakan bagi memudahkan ramai lebih faham setiap bait lirik. Istimewanya, kami menggunakan khidmat seorang selebriti wanita terkenal untuk rakaman asal yang kami bakal dedahkan dalam muzik video rasmi nanti,” katanya.

Pencipta asal lagu itu yang juga anggota Raihan, Abu Bakar pula berkata, kerjasama berkenaan satu pilihan tepat. Apatah lagi menurut Abu Bakar, mesej lagu itu cukup kuat untuk dijadikan pedoman sepanjang masa.

“Lagu ini berkisar pengakuan secara terus terang kita sebagai hamba kepada Tuhan yang Esa. Sebagai manusia biasa, kita berbuat baik namun kadangkala tidak sengaja terlupa siapa diri kita sebagai hamba Allah.

“Saya sangat bersyukur apabila lagu ini kembali diperdengarkan pada tahun ini dan sangat berterima kasih kepada Alif serta sahabat lain. Lagu ini sebenarnya agak jarang disebut, tapi liriknya menusuk.

“Sesuai dengan keadaan kita dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), harapnya lagu ini memberi ketenangan sepanjang Ramadan. Kami sangat berharap ia akan memberi impak tersendiri dalam kalangan generasi baru,” katanya.

Dambakan CintaMu adalah lagu terbitan pertama ASET RECORDS (Alif Satar Entertainement Records) milik Alif sendiri. Lagu ini boleh dinikmati di semua platform penstriman bermula pada 27 April ini.

Terdahulu, Alif berkongsi sedutan lagu berkenaan semalam sehingga menimbulkan teka-teki dalam kalangan peminat. Bagi peminat tegar Raihan pasti sudah mengenali lagu ini namun tidak bagi pendengar yang baru.