Alunan azan lima sahabat memikat hati

Kuala Lumpur: Kemerduan azan dialunkan lima pemuda menerusi video yang dimuat naik di Twitter berjaya mencuri tumpuan warganet, malah turut dipuji pengikut bukan beragama Islam.

Video yang sudah meraih lebih 350,000 ribu tontonan itu dikongsikan Muhammad Ammar Mukhlis Abdul Mohsin, 22, yang juga pemenang tempat kedua Tilawah Quran Peringkat Wilayah Persekutuan tahun ini.

Selain Muhammad Ammar, alunan azan berdurasi satu minit 20 saat itu turut disertai rakannya, Hasan Asyuri, 21; Ridhwan Asyuri, 26; Nuri Ali, 34, dan Fawwaz Hamdi, 24.

Menceritakan kembali perkongsian video tular itu, Muhammad Ammar berkata, alunan lima jenis azan mengikut tarannum berbeza iaitu hijjaz, jiharkah, rast, nahawand dan bayyati bersama empat sahabatnya yang lain itu sebenarnya adalah idea spontan mereka.

“Saya dan Hasan baru saja tiga minggu bertugas di Masjid Kayangan Height, Shah Alam, Selangor sebagai imam dan bilal separuh masa, manakala tiga yang lain bertugas secara tetap.

“Idea itu tercetus spontan ketika kami sedang berbincang persediaan program masjid untuk sambutan Maulidul Rasul kelak,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dia yang juga penuntut bidang Quran Qiraat tahun dua, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan itu berkata, dia sudah memuat naik video itu di Youtube miliknya dan berharap lebih ramai mendapat manfaat dan ilmu daripadanya.

“Ramai sebenarnya yang kurang mengenali jenis alunan azan dan berharap melalui kandungan video di Youtube itu sedikit sebanyak dapat memberi ilmu yang bermanfaat.

“Saya juga tersentuh dengan satu komen pengikut di Twitter yang bukan beragama Islam mengakui mendengar alunan azan dari kami membuatkan dia terasa dekat dengan agama kita.

“Disebabkan itu, saya juga sering memuat naik video bertarannum di Instagram supaya sama-sama orang luar dapat melihat keunikan dan keindahan dalam Islam,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Ammar berkata, dia mahu melakukan yang terbaik sepanjang memikul tanggungjawab sebagai imam dan dan bilal di masjid berkenaan.

“Saya bukan saja bertugas sebagai imam dan bilal malah juga petugas masjid. Saya akan berusaha memikul tanggungjawab ini sebaiknya dan secara tidak langsung cuba menarik lebih ramai orang muda mengimarahkan masjid.

“Kebetulan, sekarang saya cuti semester dan bulan depan kelas diadakan secara dalam talian, jadi kemungkinan tugas ini akan saya lakukan sehingga Mac tahun depan,” katanya.

Anak sulung daripada tiga adik beradik itu berkata, walaupun sudah mempunyai pengalaman menjadi imam sejak di tingkatan satu lagi, dia mengakui perasaan gemuruh masih lagi ada.

“Takut dan gemuruh memikul tanggungjawab besar ini. Bukan mudah untuk mengendali jemaah yang ramai, Insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik,” katanya.