Amaran tiga pusat beli-belah

Kuala Lumpur: Beberapa pusat beli-belah di Lembah Klang memberikan peringatan kepada pelanggan susulan terdapat individu dijangkiti Covid-19 didapati pernah mengunjungi lokasi berkenaan.

NU Sentral dalam satu kenyataan memaklumkan seorang pekerja di pusat beli-belah itu didapati positif dalam ujian Covid-19 pada Sabtu lalu.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menghubungi mereka yang mempunyai kontak rapat dengan individu terbabit termasuk pekerja pengurusan NU Sentral.

“Semua mereka sudah menjalani ujian saringan pada hari berkenaan dan ujian pertama mendapati kesemuanya negatif namun mereka berada dalam kuarantin selama 14 hari,” katanya.

NU Sentral turut memberi jaminan kepada penyewa, vendor dan semua pelanggan bahawa ia adalah kes terpencil serta mereka yang berkenaan sudah dikesan untuk tindakan lanjut.

“Kami bekerjasama rapat dengan KKM yang melakukan proses sanitasi di seluruh pusat beli-belah ini mengikut prosedur ditetapkan pada kelmarin (Sabtu lalu),” katanya.

Sementara itu, pengurusan pusat beli-belah Sunway Pyramid di Petaling Jaya, berkata, pihak mereka sudah melakukan proses pembersihan rapi, sanitasi dan nyah kuman di seluruh kawasan termasuk di touch point, kelmarin malah akan melakukan pembersihan setiap 45 minit.

“Dengan kerjasama semua, kami akan memastikan pemeriksaan penjarakan fizikal akan dilakukan dengan ketat dan pemeriksaan suhu serta protokol keselamatan lain.

“Nasihat kami sentiasa memakai pelitup muka dan kerap membasuh tangan,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook selepas seorang kakitangan butik dikhuatiri positif Covid-19 pada Jumaat lalu dan situasi itu menjadi viral.

Dalam pada itu, pusat beli-belah KL Gateway pula menyatakan seorang kakitangan di Menara Suezcap yang menjadi kontak Covid-19 disahkan negatif namun mereka akan menutup sementara pejabat untuk tindakan lanjut.

“Pusat beli-belah ini akan meneruskan rutin pembersihan dan nyah kuman untuk proses keselamatan serta keutamaan semua. Kami memohon maaf atas segala tindakan yang menyusahkan semua pihak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19