Ambil hikmah PKP

SETIAP yang berlaku, adalah ketentuan Allah SWT dan ada hikmah di sebaliknya.

Bagi penyanyi dan pelakon, Amira Othman, kehadiran Ramadan tahun ini disambut dengan reda, walaupun terpaksa berdepan krisis Covid-19 yang bukan sahaja melanda negara, juga seluruh dunia.

Amira yang popular menerusi lagu Mimpi Indah berkata, walaupun situasi Ramadan tahun ini berbeza, ia masih lagi disambut dengan kemeriahan tersendiri bersama keluarga.

“Saya sendiri pun tidak menjangkakan yang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan berjalan dalam tempoh yang agak lama.

“Walau bagaimanapun, keterujaan menyambut Ramadan ini tetap ada kerana ia adalah bulan yang dinanti-nantikan,” katanya.

Amira juga meluahkan rasa syukur kerana dapat menyambut Ramadan di samping keluarga.

“Pada awalnya, saya berada di Kuala Lumpur untuk urusan kerja, namun mujurlah saya sempat pulang ke Johor Bahru dari hari pertama PKP dijalankan sehingga sekarang.

“Selalunya, kalau saya berpuasa di Kuala Lumpur, suasananya memang berbeza sebab bersendirian. Tapi, hikmahnya apabila PKP dilaksanakan, saya dapat meluangkan masa menjalani ibadah puasa bersama keluarga di sini,” katanya.

Amira juga menyeru masyarakat supaya sentiasa berfikiran positif dan melihat krisis Covid-19 dan PKP ini daripada perspektif berbeza.

“Banyak perkara yang saya belajar daripada situasi yang berlaku sekarang dan pada masa sama, saya melihat serta menilai semula diri.

AMIRA merasai suasana berbeza Ramadan kali ini.
AMIRA merasai suasana berbeza Ramadan kali ini.

“Sebagai manusia, kadangkala ada perkara yang kita tak hargai. Jadi, mungkin Allah nak kita semua hargai apa yang ada di sekeliling kita dan cuba mendekatkan diri kepada-Nya.

“Kalau tahun sebelum ini kita sibuk dan tak sempat nak menunaikan solat Tarawih secara berjemaah di masjid, mungkin tahun ini nikmatnya berbeza kerana kita hanya dapat melakukannya di rumah bersama keluarga,” katanya.

Ditanya mengenai aktiviti seni yang tertangguh, Amira sepatutnya muncul dengan single baharu dalam bulan ini.

“Semuanya ditangguhkan buat sementara waktu. Sekurang-kurangnya, masa yang ada ini memberikan saya ruang untuk mencari material yang sesuai untuk dijadikan single baharu.

“Insya-Allah, semuanya akan diatur semula selepas ini. Apa yang pasti, insya-Allah, saya akan muncul dengan satu lagu baharu dalam tahun ini,” katanya.

Ditanya mengenai aktivitinya di rumah, Amira berkata, dia banyak belajar menghasilkan kuih tradisional dan berkolaborasi dengan adiknya, yang juga penyanyi, Irfan Haris.

“Ibu saya memang suka memasak. Jadi, alang-alang ada masa terluang, saya menuntut ilmu masakan daripadanya dan salah satunya adalah cara membuat kuih tradisional iaitu tepung pelita.

“Selain itu, saya banyak berkolaborasi dengan Irfan dan buat video secara langsung di Instagram. Dia pun ada mengajar saya cara untuk menggunakan aplikasi Tik Tok,” katanya.

Amira turut menasihatkan masyarakat supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan tidak mementingkan diri dalam tempoh PKP ini.

“Kepada seluruh masyarakat, walaupun kita lihat graf jumlah jangkitan Covid-19 menunjukkan perkembangan positif, ia tidak bermakna kita boleh mengambil mudah dan memandang remeh.

“Kalau boleh, kita tidak mahu pencapaian positif ini hanya berlangsung seketika saja. Fikirkan mengenai orang di sekeliling kita dan patuh arahan kerajaan.

“Baik kita menangis di rumah, daripada menangis di hospital. Paling penting, hargai Ramadan kali ini sebaik mungkin,” katanya.