Ambil serius pemain import biadab

Kuala Lumpur: Sikap biadab segelintir pemain import dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) harus diberi perhatian serius oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dilihat semakin tidak menghormati pengadil tempatan.

Bermula dengan insiden pemain Kelantan FC, Jack Hindle menolak pengadil dalam aksi Liga Perdana ketika berdepan Perak FC II awal bulan ini, kelmarin insiden sama berulang dengan kali ini membabitkan tonggak tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa.

Dalam aksi Liga Super antara JDT dan Perak FC di Stadium Perak, Natxo didapati menolak pengadil selepas tiupan wisel penamat ditiupkan yang secara kebetulan tindakannya itu turut dirakam secara langsung di kaca televisyen.

Jelas bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh, tindakan Natxo itu sepatutnya dilayangkan kad merah di mana dalam undang-undang permainan jelas ia salah di bawah kelakuan ganas.

Subkhiddin kini berperanan sebagai tenaga pengajar pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) mengakui malu dan kecewa dengan tindakan pemain import nyata tidak menghormati pengadil yang diadili oleh anak tempatan.

“Insiden Natxo ini sebenarnya ada kaitan dengan tindakan pemain Kelantan yang sebelum itu menolak pengadil juga. Maksud saya, apabila sesuatu hukuman itu lambat dikenakan terhadap pemain oleh badan bola sepak, jadi pemain lain tak berasa takut untuk lakukan perkara sama.

“Apa yang dibuat oleh Natxo memang salah dan patutnya dikenakan kad merah kerana cuba berkelakukan ganas kepada pengadil. Jika ada pengajaran untuk pemain lain, insiden sama takkan berulang dan sebab itu pelaksanaan hukuman kena tegas dan cepat.

“Maruah bola sepak kita dah hilang dan orang luar ketawakan melihat pemain import yang tak hormat pengadil,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Jelasnya lagi, di atas padang semua pemain sama dan tiadanya ‘raja’ atau perbezaan kasta di mana hanya pengadil bertanggungjawab sepenuhnya.