Amirudin mohon maaf tindakan isteri [METROTV]

Shah Alam: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memohon maaf atas tindakan isterinya memuat naik gambar sebuah lori tangki air Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang menghantar bekalan air ke kediaman rasmi mereka, kelmarin.

Beliau berkata, tindakan isterinya, Datin Seri Masdiana Muhamad adalah untuk mengucapkan rasa terima kasih terhadap syarikat berkenaan yang menghantar bantuan air ke rumahnya.

“Isteri saya sudah memohon maaf semalam dan apa yang dilakukan beliau adalah untuk menyampaikan rasa gembiranya terhadap bantuan air yang diberikan Air Selangor, selepas seharian menunggu bantuan datang.

“Tapi perkara ini menjadi modal bagi sesetengah pihak untuk menyerang saya, tapi tak apalah saya dan isteri mohon maaf,” katanya kepada pemberita selepas program Dialog Belanjawan negeri Selangor 2021 di Setia Alam, hari ini.

Kelmarin, Masdiana memuat naik gambar sebuah lori tangki air Air Selangor yang menghantar bantuan di kediamannya di akaun media sosialnya.

POSTING Instagram Masdiana yang dikecam. FOTO tular media sosial
POSTING Instagram Masdiana yang dikecam. FOTO tular media sosial

Bagaimanapun, gambar itu mendapatkan reaksi negatif daripada segelintir netizen yang beranggapan bahawa keluarga Amirudin mendapat layanan istimewa daripada Air Selangor.

Dalam pada itu, Amirudin berharap mana-mana pihak tidak memanjangkan lagi isu berkenaan dan meminta orang ramai supaya fokus semula terhadap isu pencemaran air yang sedang berlaku di Selangor.

Setakat pagi ini, menurutnya, lebih sejuta pemilik akaun Air Selangor sudah memperoleh bekalan air di kediaman dan premis mereka, meliputi 37 kawasan di seluruh negeri.

Amirudin mensasarkan bekalan air di seluruh Selangor akan pulih sepenuhnya pada Rabu ini.