Amukan isteri hilang sabar

WANITA menetak suaminya selepas menuduh lelaki itu mempunyai hubungan dengan wanita lain dalam insiden yang berlaku di sebuah rumah sewa di Jalan Amoy di Sibu, semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, dalam kejadian 10 malam itu, wanita berkenaan yang berusia 27 tahun bertengkar dengan suaminya yang berusia 28 tahun, sebelum hilang sabar lalu bertindak menetak lelaki itu.

Katanya, mangsa sempat mengelak tetakan itu daripada terkena tubuhnya namun lengan dan kaki mengalami kecederaan.

“Sejurus menerima panggilan berhubung kejadian, sepasukan Unit Rondaan Polis (MPV) bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, polis menahan suspek sebelum membawa mangsa ke Hospital Sibu bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK)kerana cuba membunuh.

“Suspek direman bagi membantu siasatan,” katanya.