Amy keluar Search

PENYANYI rock legenda, Amy membuat kejutan apabila mengumumkan secara rasmi keluar daripada kumpulan Search.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman membuat pengumuman itu ketika tampil bersiaran secara langsung dalam satu portal hiburan, hari ini.

Ia sekali gus mengakhiri teka-teki yang bermain di fikiran peminat berkenaan hubungannya dengan anggota Search iaitu Nasir (bass), Nordin (gitar) dan Kid (gitar).

Amy dipetik sebagai berkata, pengunduran itu adalah untuk kebaikan bersama termasuk memberi peluang buat anggota Search yang lain untuk mengorak langkah masing-masing tanpa bergantung atau tersekat kerana dirinya.

“Dengan pengumuman ini saya berharap saya tidak menghalang perjalanan atau karier anggota sedia ada,” katanya.

Ia rentetan kenyataan anggota Search dalam sidang media Konsert Apologia Search & Awie baru-baru ini yang menyebut, mereka sudah berehat hampir dua tahun tanpa sebarang persembahan disebabkan jadual Amy yang terlalu padat.

Amy turut mengakui dirinya yang kini sudah melewati usia 62 tahun tidak lagi mempunyai kualiti vokal seperti pada usia 26 tahun.

“Perkara itu terjadi kepada semua penyanyi di seluruh dunia. Saya bukan 26 tahun, tapi 62 tahun. Saya menyanyi apabila dipanggil dalam show atau persembahan tertutup. Saya kira ia sesuai dengan peredaran masa di mana jika dulu peminat yang membesar bersama saya menonton saya menyanyi di konsert, tapi saat usia meningkat banyak yang memilih untuk menyaksikan persembahan saya secara tertutup,” katanya.

Amy juga tidak menafikan akan terus menyanyikan lagu Search dalam persembahannya selepas ini apabila ditanya peminat.

Dia bagaimanapun tidak menjawab soalan peminat yang memintanya untuk membuat konsert terakhir bersama Search sebelum benar benar bergerak solo.

Baru-baru ini Amy mencetuskan tanda tanya apabila menulis dirinya sebagai bekas penyanyi Search di salah satu hantaran di Instagram.

Pada 1994, Amy pernah keluar dari Search dan seterusnya tampil dengan album solo berjudul Magic.

Sementara itu, Nasir yang dihubungi berkata, kenyataan Amy bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

“Saya tak boleh nak komen banyak sangat, namun reda dan bersyukur dengan apa yang disampaikan oleh Amy. Ini bermakna terjawab sudah teka teki sebelum ini. Kami tak terkejut kerana dah jangka perkara ini akan berlaku.

“Apabila dia tidak lagi menjawab panggilan daripada saya, ia sudah menunjukkan dia tidak berminat bersama Search,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini, anggota Search tidak mempunyai perancangan untuk bertemu Amy dan memujuknya supaya menarik balik keputusannya itu.

“Dengan arahan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ketika ini, memang sukarlah untuk bertemunya. Sebelum ini kami selalu berkongsi apa-apa masalah, tapi kali ini Amy tak lagi berbuat demikian.

“Panggilan pun tak dijawab dan saya tak pasti apa isu yang sebenar. Tapi kalau dia dah buat keputusan begini, maknanya ini bukan kehendak kami. Search masih lagi cari dia sebelum ini, tapi dia sendiri yang tak berikan jawapan,” katanya.

Nasir berkata, Search akan terus bergerak bersama Awie tanpa mahu memandang ke belakang.

“Ini kali kedua dia keluar Search dan Awie yang isi kekosongan yang ditinggalkan pada 1997. Selepas 23 tahun ia berulang lagi dan ironinya Awie juga yang akan bersama kami dalam konsert yang sepatutnya berlangsung semalam.

“Saya rasa dengan tahap kematangan yang ada, tak perlulah ada perbalahan di antara kami dan Amy. Dia pun pernah cakap beri restu konsert kami bersama Awie. Ia secara tak langsung menunjukkan bahawa Amy sudah tiada hati bersama Search. Dia lebih selesa jalan seorang,” katanya.

Dalam pada itu, Nasir memuji Awie atas komitmen yang diperlihatkan ketika bersama Search.

“Kami amat berterima kasih kerana dia mempunyai semangat persahabatan yang tinggi. Dalam keadaan dirinya yang sibuk, dia tetap dapat tunjukkan komitmen terhadap Search.

“Terima kasih kepada anggota Wings yang merelakan Awie bersama kami.

Dia seorang yang fokus beri komitmen penuh terhadap projek ini.

“Berkenaan Amy, kami tak pernah kata persembahannya merosot. Takkanlah kami nak burukkan penyanyi sendiri,” katanya.

Nasir berkata, mereka mencari Amy sehingga ke saat akhir, namun menerima jawapan daripada pengurusannya mengatakan Amy penat, mahu menumpukan perhatian kepada keluarga serta mahu fokus pada perniagaan.

“Amy belum mahu berterus terang ketika itu dan hari ini segala-galanya terjawab hari ini. Search akan terus hidup dan kekuatan kami bukan terletak pada seorang individu tapi semangat berkumpulan,” katanya.