Anak jadi imam Tarawih

“ANAK sulung dan anak ke lima akan bergilir-gilir menjadi imam solat sunat Tarawih sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan,” kata Abdul Wahab Mah Abdullah, 51.

Dia berkata demikian ketika ditanya persiapannya menyambut kedatangan Ramadan.

Abdul Wahab Mah yang memeluk Islam ketika berusia 10 tahun bagaimanapun agak terkilan kerana tahun ini mereka sekeluarga tidak dapat berjemaah bersama kariah lain di masjid berhampiran seperti dilakukan pada tahun sebelum ini.

Katanya, memahami arahan kerajaan supaya negara ini mematuhi PKP yang sedang dilaksanakan, anak sulungnya, Mohd Adam, 25, akan bertindak sebagai imam, manakala anak ke lima, Mohd Adib, 17, sebagai bilal.

“Anak saya ada tujuh orang berusia antara 13 hingga 25 tahun, dengan seorang daripada perempuan namun anak ketiga yang berusia 21 tahun tidak dapat balik selepas terkandas di Johor Bahru sejak PKP dilaksanakan.

“Bermakna jika puasa bermula esok (hari ini), malam ini kami akan mula bertarawih diimamkan oleh Adam dan ia satu pengalaman pertama yang paling indah dalam keluarga kami,” katanya.

Menurut Abdul Wahab Mah yang ditemui di rumahnya di Taman Rekamas 4, Simpang Renggam kepercayaan untuk memimpin solat sunat Tarawih terpaksa diberikan kepada anak sulung berikutan kesihatannya yang tidak berapa mengizinkan.

“Anak sulung mendapat pendidikan agama di Institut Dakwah Islamiah di Kelantan, manakala anak ke lima di Sekolah Menengah Agama (SMA) Bugisiah di Benut.

“Dengan pendidikan agama yang mereka ada itu meyakinkan saya untuk mengizinkan mereka memimpin solat walaupun ia pertama kali dilakukan di rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Wahab Mah berkata, tiada sebarang persiapan dilakukan oleh keluarganya untuk menyambut kedatangan Ramadan tahun ini berikutan isterinya sudah meninggal dunia kira-kira setahun yang lalu.

“Jika hari-hari biasa saya menjual air di Pasar Tani dan Pasar Malam namun tahun ini masih buntu apa yang perlu dilakukan berikutan larangan berniaga di bazar,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan