‘Angah tunggu siapa tu…’

WALAUPUN Angah hanya kambing peliharaan, satu keluarga di Padang Besar, Perlis menjaga dan melayaninya seperti ahli keluarga sendiri.

Mana tidaknya, sejak dijaga ketika usianya dua hari, Angah tinggal serumah dan tidur bersama anak bongsu keluarga itu berusia 12 tahun.

Malah, mereka menjaga Angah seperti anak kecil, memakaikan lampin, baju dan seluar serta menjaga makan dan minumnya.

Anak kedua daripada empat adik beradik dalam keluarga itu, Nur Ameera Natasha Rossidi, 23, berkata, ibu Angah menyisihkannya dan atas sebab itu mereka menjaganya sehingga sekarang.

KELUARGA Nur Ameera melayan Angah seperti ahli keluarga sendiri termasuk membawanya bersiar-siar dengan kereta. FOTO ihsan Nur Ameera Natasha Rossidi.
KELUARGA Nur Ameera melayan Angah seperti ahli keluarga sendiri termasuk membawanya bersiar-siar dengan kereta. FOTO ihsan Nur Ameera Natasha Rossidi.

Katanya, selain memiliki kedai pakaian sukan, keluarganya turut menternak kambing, itik dan ayam.

“Kebiasaannya semua haiwan diternak akan dijual atau dikorbankan, namun berbeza dengan Angah kerana sudah menganggapnya seperti keluarga sendiri.

“Asalnya ibu Angah yang juga kambing ternakan ayah melahirkan dua anak pada hujung April lalu dan hanya menyayangi kembarnya saja manakala Angah dibiarkan tanpa diberi susu.

“Tidak mahu Angah mati kelaparan, kami sekeluarga mengambil inisiatif menjaganya di rumah serta memberikannya susu khas untuk kambing yang dibeli dari kedai haiwan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nur Ameera berkata, menjaga kambing itu di rumah lebih mudah berbanding menjaga kucing.

Mudah nak jaga Angah, dia jinak dan gelagatnya suka makan biskut, roti, aiskrim serta coklat menghiburkan kami sekeluarga.

“Kami hanya mengetip kuku dan memandikannya seminggu sekali menggunakan syampu bayi manakala pakaiannya daripada baju kami sendiri yang sudah tidak dipakai.

“Disebabkan Angah tinggal di dalam rumah, kami pakaikan lampin pakai buang bagi mengelak najisnya mengotori rumah,” katanya.

Nur Ameera berkata, keluarganya membelanjakan RM50 seminggu bagi membeli susu dan lampin pakai buang kambingnya itu yang kini berusia tiga bulan setengah.

Katanya, kambing itu suka bersia-siar dan mengikutinya ke kedai yang terletak berhampiran dengan rumah.

“Apabila terdengar bunyi enjin motosikal atau kereta, pasti Angah akan berlari ke arah kami dan kerana itu, Angah selalu ikut ke kedai.

“Selain gelaran ‘Ucu’ (anak kelima) yang diberi keluarga, ada pelanggan menamakannya Syarifah dan Latifah. Malah, ada pelanggan yang salah anggap dan menyangka kami membela anjing,” katanya.

Terdahulu, tular di Twitter gambar seekor kambing memakai t-shirt putih corak kartun dan lampin pakai buang seolah-olah menunggu pemiliknya di atas kerusi batu di Pasar Besar, Perlis.

Ciapan yang tular itu dimuatnaik oleh @Dowhatt_ dan rata-rata warganet turut berkongsi gambar serta video kambing itu berada di depan kedai pakaian sukan di lokasi sama dan menganggap ia sesuatu yang unik.