‘Anggap ini perjuangan agung dan mulia’

TUGASNYA sebagai jururawat ketika wabak Covid-19 ini sangat mencabar, malah Natalia Aivy Dibit pernah kalah dengan emosinya dek kerana terlalu penat.

Kata wanita berusia 27 tahun itu, dia juga pernah menyimpan amarah dan menganggap kluster jemaah tabligh yang dijangkiti penyakit bawa maut terbabit punca kepada penularan wabak hingga ke Labuan.

“Jujur saya katakan pada mulanya saya marah kerana menganggap kluster inilah punca kes Covid-19 meningkat di Labuan.

“Tetapi apabila berdepan dan merawat mereka, sangkaan buruk saya itu meleset dan saya malu dengan diri sendiri.

“Tekanan dan penat bertugas hilang apabila berdepan mereka yang sangat mudah memberi kerjasama dan paling saya tidak boleh lupakan apabila seorang daripada mereka berpesan dengan saya.

“Menurutnya, walau siapapun saya, apa pun agama saya, (tapi) pekerjaan saya ini mulia dan anggap ia satu perjuangan yang agung dan mulia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya yang berkhidmat di hospital di Labuan, pengalaman merawat kluster jemaah tabligh sangat meninggalkan kesan mendalam di hatinya dan tidak mungkin dilupakan.

Natalia Aivy berkata, sebagai barisan hadapan, salah satu dugaan paling mencabar adalah berdepan emosi pesakit yang tidak menentu selain mengendalikan sampel dan melakukan rutin lain.

“Saya juga faham pesakit juga tertekan. Kalau boleh saya berharap duduk lama-lama dengan pesakit dan berbual tapi keadaan tidak mengizinkan malah boleh sesak nafas kalau bercakap banyak sewaktu memakai PPE.

“Malah, kami kena mandi dengan sabun dengan Chlorexidine 4% yang menyebabkan kulit kering, rambut gugur dan ada bahagian kepala yang mula botak. Sehari kena mandi lima kali, kadang-kadang lebih,” katanya.

Dia juga berdepan waktu kerja panjang sehingga 12 jam yang menjadi cabaran dan pengurusan atasan hospital banyak membantu memberi semangat dan mendengar keluhan mereka.

“Emosi kena kuat. Jiwa kami harus kental bila bekerja sebagai barisan hadapan kerana kalau kami tumbang, masyarakat nak berharap pada siapa lagi,” katanya yang juga penulis novel.

Selain itu, dia juga memanfaatkan laman sosial dengan menulis pautan dan perkongsian berguna mengenai pandemik Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19