Anggota polis dikuarantin, penagih dadah positif Covid-19

Tuaran: Tujuh anggota polis diarahkan menjalani kuarantin selama dua minggu di rumah bermula kelmarin, selepas seorang penagih dadah yang ditahan di Taman HM Tamparuli, disahkan positif Covid-19.

Penagih dadah berusia 29 tahun itu antara lapan yang ditahan dalam serbuan pada jam 9.45 malam, 5 September lalu di kawasan perumahan Taman HM Tamparuli.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pada 8 September lalu, semua suspek dibawa ke klinik untuk menjalani ujian saringan pertama iaitu prosedur sebelum dihantar ke penjara dan pada hari sama juga, sampel ujian dihantar ke makmal Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu.

“Bagaimanapun kelmarin, pihak klinik memaklumkan seorang suspek disahkan positif Covid-19.

“Sehubungan itu, tujuh anggota termasuk pegawai diarahkan menjalani kuarantin selama dua minggu di rumah masing-masing bermula kelmarin,” katanya dihubungi hari ini.

Menurutnya, pihak IPD Tuaran bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan susulan termasuk ke atas semua suspek.

“Selain itu, orang kena tahan (OKT) lain juga diasingkan di setiap lokap di IPD Tuaran.

“Proses nyah cemar setiap kenderaan dan bangunan IPD Tuaran dijalankan,” katanya.

Mohd Hamizi berkata, semua suspek disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak berasa cemas berikutan KKM sudah mengenal pasti individu lain yang mempunyai kontak dengan suspek sekali gus menjalani ujian saringan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19