Angka korban COVID-19 seluruh dunia cecah 190,000

Angka kematian akibat COVID-19 kini merekodkan lebih 190,000 kes di seluruh dunia setakat awal pagi ini. -Gambar fail

PANDEMIK COVID-19 kini merekodkan 190,000 angka kematian di seluruh dunia setakat awal pagi ini.

Dalam tempoh 24 jam, terdapat pertambahan 5,000 kematian.

Menurut statistik Johns Hopkins University, empat negara kini mencatatkan kes maut melebihi 20,000.

Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai negara yang mempunyai angka korban tertinggi dan satu-satunya negara yang merekodkan jumlah kematian menghampiri angka 50,000.

Negara Uncle Sam itu merekodkan 49,759 kematian dengan pertambahan lebih 1,000 kematian dalam tempoh 24 jam.

Ini diikuti dengan Itali yang mencatatkan pertambahan lebih 400 kematian dengan jumlah keseluruhan lebih 25,500 kematian.

Sepanyol pula menjadi negara ketiga paling teruk dengan pertambahan lebih 457 korban, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 22,157 kematian.

Dalam pada itu, Perancis merekodkan pertambahan 556 kes kematian dan secara keseluruhan 21,856 kematian.

United Kingdom (UK) pula mencatatkan pertambahan lebih 700 korban baharu dan secara keseluruhan 18,738 kematian.