Anu digigit anak sawa ketika ‘melepas hajat’

Bangkok: Malang nasib seorang remaja lelaki di Thailand apabila alat sulitnya cedera akibat digigit anak ular sawa ketika sedang ‘melepas hajat’.

Kejadian itu berlaku ketika Siraphop Masukarat, 18, berada di dalam tandas di rumahnya di wilayahnya Nonthaburi, Selasa lalu.

Mirror UK melaporkan, susulan kejadian, remaja itu dikejarkan ke Hospital Bang Yai yang terletak berhampiran rumahnya untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Siraphop kemudian menerima tiga jahitan dan doktor turut mencuci luka pada bahagian yang cedera bagi membunuh bakteria daripada taring reptilia berkenaan.

“Ketika membuang air di tandas, alat sulit saya dengan tiba-tiba rasa sakit. Saya cuba lihat ke dalam mangkuk tandas dan terkejut selepas ternampak seekor ular dengan percikan darah di dalam mangkuk tandas.

“Biarpun bersaiz kecil, gigitan ular itu cukup menyakitkan. Saya harap kecederaan pada alat sulit saya cepat sembuh ,” katanya.

SIRAPHOP dan ibunya, Sutapath. FOTO ViralPress
SIRAPHOP dan ibunya, Sutapath. FOTO ViralPress

Ular sepanjang 0.30 meter itu bagaimanapun sudah ditangkap oleh sekumpulan sukarelawan dan dilepaskan ke habitat asalnya.

Ibu mangsa, Sutapath mengakui terkejut dengan insiden yang menimpa anaknya itu.

“Saya tidak tahu bagaimana ular itu boleh memasuki rumah saya tetapi ada kemungkinan ia menerusi saluran yang dihubungkan dengan mangkuk tandas,” katanya.