Anugerah terindah

KEGEMBIRAAN jelas terpancar di wajah pasangan selebriti Zahirah MacWilson dan Aiman Hakim Ridza saat dimaklumkan mereka bakal dikurniakan cahaya mata awal Januari tahun depan.

Saat ditunggu-tunggu setiap individu yang berkahwin memberi satu makna cukup manis dan kebahagiaan kepada pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga pada 20 Februari lalu ini.

Menerusi satu rakaman video yang dimuat naik Zahirah di Instagram ketika pertama kali memberitahu suaminya mengenai dirinya sedang berbadan dua, kedua-duanya dilihat saling berpelukan dan menangis tanda kesyukuran atas rezeki yang dikurniakan.

Zahirah berkata, Aiman antara individu paling gembira hingga mereka hilang kata-kata apabila bakal bergelar ibu dan ayah tidak lama lagi.

“Sebenarnya sehari sebelum sambutan Aidilfitri, saya beritahu Aiman yang saya hamil. Kemudian pada hari raya keempat baru kami ke klinik dan doktor memberitahu usia kehamilan sudah enam minggu.

“Namun pada 1 September lalu baru saya bersedia untuk memberitahu umum dan syukur usia kehamilan kini sudah enam bulan.

“Satu perasaan yang sukar diungkap dengan kata-kata. Saat saya beritahu Aiman sedang berbadan dua dia terlalu gembira. Kami berdua tak pernah rasa perasaan ini. Namun bersyukur atas rezeki yang diberikan.

“Dari dulu saya simpan impian untuk bina sebuah keluarga dan ada anak sendiri. Saya tak kisah mengenai kahwin di usia muda asalkan saya nak ada anak. Lagipun ketika ibu saya dapatkan saya pun usianya ketika itu 20 tahun,” katanya.

Walaupun sudah mengetahui jantina anak, Zahirah memilih untuk merahsiakan terlebih dahulu kerana ingin memberi kejutan serta membuatkan orang berteka-teki.

SENTIASA cuba cari kesefahaman dan keserasian untuk jadi insan lebih baik.
SENTIASA cuba cari kesefahaman dan keserasian untuk jadi insan lebih baik.

Aiman terlebih bimbang

Sejak insiden jarinya menerima sembilan jahitan pada akhir Ogos lalu, Zahirah berkata, Aiman kini terlebih melindungi dirinya sehinggakan meminta pembantu peribadi menemaninya di rumah.

“Sejak kebelakangan ini, Aiman dilihat terlebih melindungi saya hingga meminta pembantu peribadi temankan saya di rumah selepas insiden jari saya terluka ketika membasuh cawan.

“Ketika itu, saya tak perasan cawan yang dibasuh retak dan ketika mencuci saya tak sedar jari saya terkena serpihan itu dan terluka sehingga terpaksa ke hospital dan menerima sembilan jahitan. Mujur ketika itu Aiman ada di rumah,” katanya.

Ditanya mengenai alahan sepanjang kehamilan, Zahirah bersyukur dia tidak mengalami alahan yang teruk untuk kehamilan pertama ini, cuma hanya sesekali mengidam makanan tertentu.

“Saya tak alami alahan yang teruk cuma kadang-kadang saja teringin nak makan sesuatu. Jadi sepanjang kehamilan ini saya cuba mengamalkan makanan seimbang dan lebihkan buah-buahan.

“Pada awal kehamilan pun, saya tidak berdepan alahan teruk cuma ada sedikit rasa penat dan kadang-kadang saja muntah,” katanya.

SUKAR diungkap dengan kata-kata saat mengetahui bakal dikurniakan cahaya mata.
SUKAR diungkap dengan kata-kata saat mengetahui bakal dikurniakan cahaya mata.

Akan terus berlakon selepas bersalin

Lebih 10 bulan tidak menjalani penggambaran, Zahirah berkata, ada beberapa tawaran yang datang tidak mengizinkan dirinya menjalani penggambaran kerana watak yang diberikan agak berat.

Katanya, selepas melahirkan anak dia bakal kembali aktif dalam dunia lakonan.

Menurutnya, dia tak kisah untuk berlakon sekarang, tetapi skrip yang diterimanya agak berat dan tidak sesuai dengan keadaan sekarang.

“Jadi sekarang ini saya hanya aktif terbabit dengan penggambaran produk dan beberapa urusan lain. Soal kerjaya selepas melahirkan anak, saya dan Aiman sudah berbincang perkara ini dan dia tiada halangan untuk saya kembali aktif. Lagipun dari dulu saya suka bekerja.

“Saya tidak mahu mengubahnya dan percaya boleh urus anak dengan baik sambil bekerja. Mungkin saya ambil pembantu dan kami bergilir-gilir menjaga anak,” katanya.

Perkahwinan satu proses pembelajaran

Zahirah mengakui perkahwinan adalah pengalaman dan proses pembelajaran untuk dirinya menjadi isteri dan ibu yang terbaik.

Dia juga bersyukur tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu turut mengeratkan hubungannya dengan suami.

“Tiada perkahwinan yang sempurna. Tambahan pula, ini perkahwinan pertama saya dan apa yang saya lalui ini semuanya baharu.

“Cuma saya bersyukur PKP merapatkan hubungan kami sebagai suami isteri. Setiap hari kami cuba mencari kesefahaman dan keserasian untuk menjadi insan yang lebih baik,” katanya yang merindui keluarganya di Australia yang tidak dapat pulang ke Malaysia akibat penularan Covid-19.