Apa dah jadi projek NFC? [METROTV]

Gemas: Terbongkarnya isu kartel import daging haram ditukar halal ketika tiba di negara ini turut mengimbau kembali masyarakat mengenai projek berimpak tinggi untuk industri pedaging negara iaitu program fidlot nasional.

Harian Metro meninjau kembali National Feedlot Centre atau Pusat Fidlot Nasional (NFC atau PFN) yang dibangunkan lebih sedekad lalu di tanah berkeluasan 5,000 ekar (2023.4 hektar) di Gemas, Negeri Sembilan.

Bersandarkan petunjuk peta Google, wartawan, jurugambar dan jurukamera video bertolak dari pejabat di Balai Berita Bangsar, Kuala Lumpur jam 9 pagi dan tiba di lokasi ditunjukkan peta Google kira-kira dua jam kemudian.

Namun, apa ditemui adalah padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gemas sebelum penduduk tempatan memaklumkan NFC terletak bersebelahan Kem Syed Sirajuddin Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu menempuh jarak kira-kira empat kilometer (km) lagi.

Dari jalan raya bertar, kami menemui papan tanda Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Gemas, Jabatan Pertanian Negeri Sembilan di simpang kanan sebelum kem tentera itu dan meneruskan pencarian masuk melalui jalan tanah merah berlopak.

KEADAAN jalan untuk ke Pusat Fidlot Nasional di Gemas. FOTO Aswadi Alias
KEADAAN jalan untuk ke Pusat Fidlot Nasional di Gemas. FOTO Aswadi Alias

Selepas 4km melalui jalan yang lebih sesuai dilalui untuk lori dan pacuan empat roda itu, tersergam pintu gerbang binaan batu sudah lusuh tertera tulisan berukir namun rosak dan pecah, Pusat Fidlot Nasional.

Tinjauan seterusnya mendapati sebahagian tapak projek yang sudah terbengkalai diliputi semak-samun itu lengkap bertar, mempunyai lampu jalan, Bio Security Area, bekas binaan batu ladang fidlot dan menara tangki Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains).

Malah, terdapat binaan bangunan umpama kuarters kediaman dilengkapi piring Astro dan dewan.

Berdasarkan carian maklumat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), komponen NFC adalah kawasan penempatan ternakan (kandang dan kemudahan ternakan), kawasan untuk penanaman foder, abatoir kelas A dengan kemudahan pemprosesan daging dan kilang pengeluaran makanan berasaskan hampas isirung palma (PKC) serta Palm Kernel Expeller (PKE).

BAHAGIAN dipercayai kuarters kediaman. FOTO Aswadi Alias
BAHAGIAN dipercayai kuarters kediaman. FOTO Aswadi Alias

PKC dan PKE adalah sebagai antara sumber pemakanan berkhasiat dan bermutu tinggi untuk penggemukkan lembu fidlot.

Berdasarkan tinjauan, semua binaan berkenaan sudah mengalami kerosakan teruk termasuk wayar pendawaian yang mungkin dicuri, tingkap dan pintu pecah, malah pagar ladang untuk lembu fidlot juga sudah runtuh.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9), kerajaan meluluskan peruntukan RM80 juta untuk membangunkan Program Fidlot Nasional iaitu RM40 juta untuk NFC di Gemas dan selebihnya bagi pembangunan ladang satelit fidlot di seluruh negara.

Statistik waktu itu mendapati pengeluaran daging lembu dalam negara masih ditahap rendah dengan Kadar Sara Diri pengeluaran daging lembu dianggarkan hanya 23 peratus pada tahun 2005.

KAWASAN yang kelihatan seperti penempatan ternakan. FOTO Aswadi Alias
KAWASAN yang kelihatan seperti penempatan ternakan. FOTO Aswadi Alias

NFC adalah selaras usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menerusi Dasar Pengeluaran Daging Lembu Negara untuk meningkatkan populasi ternakan lembu kepada 1.3 juta ekor dan meningkatkan pengeluaran daging lembu daripada 18 peratus kepada 28 peratus kadar sara diri (SSL) dengan pengeluaran sebanyak 45,000 tan metrik daging pada tahun 2010.

Persoalannya adakah projek NFC untuk sumber pedaging negara ini yang memang cantik di atas kertas cadangan dan sudah melebur (melabur) belanja jutaan ringgit itu perlu diteruskan? Ini terutama apabila timbulnya isu kartel import daging haram tukar halal yang menggusarkan masyarakat khususnya penduduk Islam di negara ini.

PINTU gerbang binaan batu sudah lusuh tertera tulisan berukir Pusat Fidlot Nasional. FOTO Aswadi Alias
PINTU gerbang binaan batu sudah lusuh tertera tulisan berukir Pusat Fidlot Nasional. FOTO Aswadi Alias