‘Apa saja demi ayahku…’

“SAYA sanggup buat apa sahaja asalkan dapat membahagiakan ayah,” kata Mohd Farhan Ab Hamid ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Pak Jin, Tepoh, Kuala Nerus, hari ini.

Kesungguhan Mohd Farhan, 29, menjaga dan melayan bapanya, Ab Hamid Mat Husin, 63, yang diserang angin ahmar dan terlantar mendapat pujian warganet apabila gambarnya membawa bapanya di dalam raga motosikal untuk ke kedai makan dan bersiar-siar tular di media sosial.

Farhan berkata, dia menjaga bapanya itu sejak lima tahun lalu dan menjadi rutin membawa bapanya bersiar-siar atau ke kedai makan sebanyak tiga kali seminggu.

“Ayah diserang angin ahmar sejak tujuh tahun lalu dan sebelum ini ayah tinggal bersama adik beradik lain.

“Bagaimanapun pada 2015, ayah ingin tinggal di rumah saya dan sepanjang tempoh itu saya melayan segala kehendaknya.

“Maklumlah ayah sakit terlantar dan berasa bosan sekiranya hanya berkurung di dalam rumah. Jadi, saya saya membawa ayah ke kedai makan dan bersiar-siar dengan menaiki motosikal,” kata anak kelima daripada enam beradik itu.

MOHD Farhan mendukung bapanya untuk dibawa bersiar-siar atau ke kedai makan. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
MOHD Farhan mendukung bapanya untuk dibawa bersiar-siar atau ke kedai makan. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI

Menurutnya, dia bertuah kerana isterinya, Maziana Abdul Manan, 35, dan anak tunggalnya, Nur Aleya Qalesya, 5, memahami tanggungjawabnya menjaga bapanya yang uzur itu.

“Kadang-kadang saya tiada masa untuk isteri dan bermain dengan anak kerana menguruskan ayah, namun bersyukur kerana isteri dan anak sangat memahami.

“Malah isteri tidak kekok membantu menjaga dan menguruskan makan dan minum bapa ketika saya berkerja.

“Ayah ialah nyawa dan kebahagiaan saya, susah macam mana sekalipun untuk menjaganya saya akan tetap menjalankan tanggungjawab sebagai anak sebaik mungkin,” katanya.

Menurutnya, dia pernah beberapa kali terpaksa cuti berkerja kerana menjaga bapanya yang kurang sihat.

Katanya, dia berkerja sebagai buruh dengan pendapatan RM1,100 sebulan dan jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung segala kos diperlukan ayahnya.

“Ayah memakai lampin pakai buang dan paling kurang perlu sediakan RM200 sebulan untuk membeli keperluan itu.

“Bagaimanapun berkat menjaga ayah, rezeki itu sentiasa ada melalui sumbangan orang ramai dan pihak masjid,” katanya.

Bercerita mengenai kesanggupannya membawa bapanya di dalam raga motosikal, katanya, dia membawa bapanya itu ke kedai atau bersiar-siar di sekitar rumah sahaja dengan motosikal.

“Saya mempunyai kereta tetapi kenderaan itu hanya untuk membawa ayah ke hospital sahaja maklumlah saya tidak mempunyai wang untuk mengisi minyak, jadi lebih jimat menunggang motosikal.

“Ayah dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan sebanyak dua kali setiap bulan bergantung kepada temu janji,” katanya.

Sementara itu, Maziana berkata, dia bertuah kerana mempunyai seorang suami yang bertanggungjawab dan penyabar.

“Bukan senang untuk menjaga ayah yang sakit terlantar seperti itu dan ia memerlukan kesabaran tinggi.

“Sebagai isteri saya akan sentiasa menyokong dan membantu suami menjaga bapanya.

“Besar ganjaran dan keberkatan yang kami perolehi apabila berkhidmat untuk bapa sakit dan kami akan menjaganya sehingga ke hujung nyawa,” katanya.