Apartmen nyamuk

Beijing: Satu eksperimen projek perumahan hijau di Chengdu, China sepatutnya menjadi ‘syurga’ penghuni namun ia kini didiami makhluk lain iaitu nyamuk.

Ini kerana projek berkenaan yang menawarkan 826 unit apartmen, menyediakan taman peribadi dengan pelbagai jenis tanaman di balkoni setiap unit.

Pandangan yang sepatutnya penuh kehijauan bertukar umpama menara terbiar kerana tanaman melengkapi balkoni berkenaan tidak dijaga dengan baik selain menarik perhatian nyamuk.

Qiyi City Forest Garden berjaya mencatatkan jualan 100 peratus selepas dilancarkan pada April tahun ini namun hanya 10 keluarga saja berpindah masuk ke sana.

Media tempatan melaporkan hanya segelintir keluarga berpindah ke apartmen berkenaan berikutan serangan nyamuk yang turut meminati tumbuhan di apartmen itu.

Projek yang terletak di bandar barat daya itu dibina pada 2018 dengan setiap balkoni direka khas dengan ruang untuk tumbuhan.

Namun, tanpa mana-mana penyewa yang menjaga tumbuhan terbabit, lapan menara apartmen itu kini ditumbuhi pokok liar yang dihuni banyak nyamuk.

Dalam satu rakaman tinjauan bulan ini, hampir keseluruhan tanaman yang tidak dijaga terbiar di balkoni dengan dahan tergantung di atas pagar seluruh menara manakala sebilangan kecil unit didapati sudah berpenghuni.