‘Api’ semangat joe flizzow

KEJAYAAN demi kejayaan diraih penyanyi rap Joe Flizzow membuktikan legasinya sukar digugat. Lebih dua dekad memperjuangkan hip hop baik di Malaysia dan luar negara, namanya tetap kukuh dan relevan.

Bagi Joe atau nama penuhnya Johan Ishak, 42, tiada istilah selesa dalam kamus hidupnya apabila membabitkan muzik. Hakikatnya, dia sendiri tidak berhenti untuk belajar segala perkara baharu setiap hari.

Pada tahap sekarang, namanya sudah cukup layak untuk digelar legenda hip hop tempatan. Bagaimanapun, Joe enggan sekali-kali mengehadkan dirinya dengan memperbaiki diri termasuk belajar daripada artis jauh lebih muda berbandingnya.

“Elemen yang sentiasa saya cari dalam berkarya adalah ‘api’ semangat. Disebabkan itu, saya sangat gembira dapat bekerja dengan individu daripada pelbagai latar belakang dalam industri kreatif.

“Saya sendiri adalah sejenis yang sentiasa melihat sesuatu perkara daripada pelbagai sudut. Dari situlah saya raih pelbagai ilmu baharu dan hakikatnya proses belajar dalam diri tidak pernah berhenti.

“Hip hop adalah persaingan yang akan berterusan dan saya gembira dapat mengenali lebih ramai pejuang muda genre ini. Lebih menggembirakan, budaya hip hop sekarang sudah boleh dijadikan kerjaya kukuh,” katanya.

Ditemu bual baru-baru ini sempena pelancaran video muzik rasmi lagu baharunya berjudul Ciao, Joe mengakui terharu lagu terbabit mendapat reaksi luar biasa. Bekerjasama dengan MK K-Clique dan bintang terkenal Korea Selatan, Jay Park, baginya lagu itu cukup istimewa.

Mana tidaknya, lagu yang ditulis pada Februari tahun lalu dan mendapat sentuhan komposer, Alyph, itu dihasilkan sepenuh hati. Lantas, keringat dicurahkan semua pihak terbabit terbalas apabila Ciao menjadi sohor kini di media sosial.

“Semestinya saya sangat gembira ia ‘trending’. Ini menunjukkan industri hiburan kita sememangnya semakin meriah dengan sokongan peminat tempatan terutama kepada muzik hip hop.

“Ia membuatkan saya rasa diri terus bertuah apabila dapat dan masih melakukan perkara paling dicintai iaitu berkarya. Saya ada cara tersendiri iaitu memang sentiasa mahu tunjukkan karya dari Malaysia bagus di mata dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Joe mengaku menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan dua artis tempatan iaitu Datuk Sheila Majid dan Yuna buat masa ini. Menurutnya, ia adalah impian jadi kenyataan jika dapat merealisasikannya suatu hari nanti.

Meskipun laluannya pasti mudah untuk menjadikan ia kenyataan, namun dia akui projek itu perlu kena tepat pada masanya juga. Paling penting semestinya, untuk mendapatkan karya yang tepat.

“Saya melihat kerjasama bersama Sheila dan Yuna perlu memiliki kekuatan serta cita rasa yang tinggi untuk dilaksanakan. Sebelum dilakukan, saya perlu ada sesuatu yang cukup bagus untuk dijanjikan.

“Pastinya dengan Sheila, ia ibarat mimpi jadi kenyataan kalau menjadi nanti. Sebaliknya, bersama Yuna yang memang rakan karib saya, dia sudah buktikan di luar yang muziknya bertaraf dunia.

“Maka, untuk sebarang kerjasama itu, kena ada lagu yang tepat. Tidak semestinya perlu difikir lama, kerana karya yang tercetus tanpa dirancang pun boleh terhasil secara kreatif dalam cara tersendiri,” katanya.

JAY Park turut bekerjasama dalam lagu terbaharu Joe Flizzow, berjudul Ciao.
JAY Park turut bekerjasama dalam lagu terbaharu Joe Flizzow, berjudul Ciao.

Nasihat untuk artis muda

Tidak dinafikan, antara pencapaian manis Joe dalam industri muzik setakat ini termasuk kemenangan di Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) pada 2015. Menerusi lagu Apa Khabar bersama SonaOne, martabat muzik hip hop dibuktikan terus gah.

Lantas, acara terbabit sentiasa ada ruang yang cukup istimewa dalam hatinya. Disebabkan itu, dia tidak ketinggalan berkongsi mengenai sumbangan acara berkenaan kepada perjuangan ikhlas pengkarya tempatan.

“Walaupun awal tahun ini, saya sedikit kecewa lagu kegemaran saya tidak bolos ke AJL35, namun industri sudah mengiktiraf muzik hip hop dengan serius. Dengan itu, saya berharap ia menguatkan lagi azam pengkarya hip hop muda untuk berjuang,” katanya.

Apapun, Joe mengakui pengkarya muda tidak harus berpaksikan kepada anugerah semata-mata untuk berkarya. Baginya, niat mereka perlu ikhlas untuk menjadi anak seni dan bukannya berlumba-lumba mengejar piala.

“Bukan AJL sahaja, banyak lagi acara lain yang membabitkan anugerah. Tapi, tak bolehlah artis muda nak ada mentaliti bahawa berkarya itu demi untuk dipertandingkan di acara anugerah semata-mata.

“Niat kena betul, apabila tulis lagu, tulis betul-betul. Menang atau kalah dalam pertandingan bukan ukuran utama. Mereka kena kagumkan, tunjukkan seni hip hop adalah yang terbaik,” katanya.

Dia turut menasihatkan mereka agar tidak takut mengambil risiko dan membuat kesilapan dalam perjalanan karier. Bahkan, dia sendiri sentiasa terbuka untuk memberi tunjuk ajar kepada artis muda yang mahukan

nasihatnya.

“Sepanjang perjalanan itu, mereka pastinya akan buat silap. Tapi, tidak mengapalah kerana itulah sebahagian daripada cara pemikiran mereka berkembang. Ada yang akan jadi bintang, boleh pergi jauh.

“Untuk saya sendiri, memang suka beri peluang kepada mereka (bakat muda) untuk bersinar. Menerusi program 16 Baris yang saya terbitkan, ramai kalangan bakat muda menghubungi saya untuk meminta tunjuk ajar.

“Saya tidak pasti bagaimana dengan penyanyi rap lain, tapi itulah antara agenda penting dalam karier saya sekarang. Sekarang hip hop sudah terbuka berbanding di awal-awal kemunculan kami dulu,” katanya.