Ara ligat di dapur

SEKITAR empat tahun aktif membina kerjaya seni, nama penyanyi Ara Johari boleh dikata makin kukuh. Apatah lagi, Ara sudah bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).

Malah, menariknya beberapa lagu nyanyian Ara seperti Warkah Untukku, Bunga, Paku dan Racun Hati berjaya menambat pendengar muzik tanah air.

Hingga kini, Ara, 23, sudah mampu bernafas lega untuk kerjaya nyanyiannya berikutan lagu dinyanyikan begitu popular dan diminati ramai.

Bagaimanapun, kemunculan pandemik Covid-19 dalam negara ketika ini, sejak Mac lalu diakui Ara sedikit sebanyak menjejaskan kerjaya seninya.

Namun, mengaku tidak melihat dugaan yang menimpa kita semua sebagai punca rezeki terputus, Ara berkata dia tingkatkan usaha dan positif.

“Cabang rezeki Allah, ada banyak. Salah satunya, sudah tentu perniagaan dan saya usahakan Ara Kitchen sebagai jaminan masa depan.

“Alhamdulillah, sambutan diterima sangat baik. Apatah lagi, menu utama untuk makan tengah hari ialah daging salai masak lemak cili api.

“Masakan disediakan itu, saya masak sendiri dan setakat ini maklum balas diterima daripada pelanggan sangat baik dan tidak diduga,” katanya.

Mengulas bakat dimilikinya di dapur, Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari berkata, dia memang boleh masak dan meminati bidang kulinari. Apatah lagi, resipi daging salai itu daripada keluarga.

“Saya mula berniaga sebagai cuba-cuba saja. Namun, tak sangka pula dapat sambutan dan saya buat keputusan untuk meneruskan kerana pelanggan sudah yakin.

“Ditambah, dalam situasi sekarang kebanyakan pelanggan saya membuat tempahan makanan secara dalam talian (online) kerana mudah,” katanya.

Menurut Ara lagi, jiwanya juga sudah makin seronok berniaga, tetapi tidak mahu bersikap terburu-buru merancang meluaskan perniagaan.

“Buat masa sekarang, saya cuba kukuhkan lagi jenama Ara Kitchen ini. Jadi, segala-galanya perlu ada strategi mantap dalam perniagaan.

“Saya juga tak kisah peningkatan bisnes bergerak perlahan. Paling utama, mampu bertahan kerana saingan cukup banyak,” katanya.

Apapun, Ara berkata kepuasan pelanggan paling penting dan untuk itu dia sangat menjaga kualiti dalam masakan disediakan. Ujarnya, dia perlukan pelanggan berulang.

Selain itu, katanya harga set hidangan makanan disediakan Ara Kitchen juga berpatutan. Menurut Ara, apa-apapun kena pastikan makanan dijual sedap.

ARA cuba kukuhkan lagi jenama Ara Kitchen ini dengan strategi mantap dalam perniagaan.
ARA cuba kukuhkan lagi jenama Ara Kitchen ini dengan strategi mantap dalam perniagaan.

Bangga jadi anak Malaysia

Memandangkan kini negara masih dalam ‘mood’ merdeka sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 September nanti, Ara berkata, dia bangga dengan tanah air tercinta ini.

Katanya, penularan Covid-19 di seluruh dunia membuatkan dia bersyukur sebagai warga negara Malaysia kerana kes dicatat di tanah air agak terkawal.

“Walaupun saya mengharapkan Covid-19 ini cepat berakhir, tapi selagi tiada vaksin ditemui ia bukan mudah. Jadi, jalani rutin kehidupan norma baharu sangat penting.

“Untuk saya sendiri pun, hanya keluar rumah jika terbabit dengan tawaran persembahan. Kalau tiada, sepenuh masa hanya di rumah, lebih selamat.

“Kebimbangan ketika berada di luar rumah tetap ada, tetapi kena sentiasa hati-hati. Jadi, kini saya patuh saja pada prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Menurut Ara, dia juga akan pastikan sentiasa memakai pelitup muka, kerap basuh tangan dengan sabun dan melakukan penjarakan fizikal.

Mengakui pada mulanya kekok dengan rutin norma baharu, Ara berkata, dia mendapati kehidupan semua orang kini lebih disiplin dan jaga kebersihan.

Berbicara juga mengenai kemunculan lagu baharu, Ara memberitahu semuanya masih dalam perancangan kerana dia perlukan lagu sesuai dengan vokal.

“Insya-Allah, lagu baharu saya akan ada tak lama lagi. Cuma, semuanya sekarang masih dalam proses dan ia dibuat mengikut apa yang diatur syarikat rakaman.