AS dakwa makmal keselamatan bio di pinggir bandar Wuhan punca kepada COVID-19

Institut Virologi Wuhan didakwa mungkin menjadi tempat pertama penularan virus COVID-19.

AMERIKA Syarikat (AS) mendakwa sebuah makmal keselamatan bio yang terletak di kawasan pinggiran di bandar Wuhan mungkin menjadi punca kepada penularan pandemik COVID-19 di seluruh dunia.

Biarpun saintis China berkata virus tersebut mungkin berpindah dari seekor haiwan kepada manusia di sebuah pasar yang menjual makanan eksotik, namun, kewujudan makmal tersebut mendorong kepada teori konspirasi bahawa ia merupakan tempat pertama virus itu menular.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo berkata, pihaknya kini sedang melakukan "siasatan penuh" mengenai punca virus itu "menular ke seluruh dunia."

Menurut beliau, Institut Virologi Wuhan (WIV) mungkin menjadi tempat pertama penularan virus COVID-19.

Ini kerana, dakwa beliau, institut berkenaan merupakan ‘rumah’ bagi Pusat Pengumpulan Budaya Virus China dan merupakan bank virus terbesar di Asia yang menyimpan lebih daripada 1,500 strain virus.

Malah, bangunan itu juga dilengkapi makmal keselamatan maksimum pertama di Asia yang dilengkapi untuk menangani patogen Kelas 4 (P4), iaitu virus berbahaya yang menimbulkan risiko tinggi penularan orang ke orang, seperti Ebola.

Jelas Pompeo, pihak berkuasa China sendiri turut melakukan penyiasatan terhadap institut itu sama ada ia merupakan tempat asal virus COVID-19.

"Kami tahu mereka tidak membenarkan saintis dunia masuk ke makmal itu untuk menyiasat apa yang berlaku di sana," katanya dalam sebuah wawancara radio.

Dalam pada itu, agensi berita Washington Post dan Fox News turut sama memetik sumber tanpa nama dengan mendakwa virus itu mungkin secara tidak sengaja tersebar dari kemudahan tersebut.

Namun, institut berkenaan pada Jumaat membidas dakwaan tersebut dengan mengatakan ia hanyalah khabar angin yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

Malah, jurucakap Kementerian Luar China Zhao Lijian pada Jumaat turut menyangkal dakwaan bahawa penularan COVID-19 berpunca dari institut tersebut. 

"Seseorang yang bijak akan memahami tujuan individu yang tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan kekeliruan dan mengalihkan perhatian masyarakat serta menghindari tanggungjawab mereka," kata Zhao, yang pada masa sama mempromosikan teori konspirasi bahawa tentera AS yang membawa virus tersebut ke China.

Malah, Perancis juga senada dengan China dengan menyatakan bahawa belum ada bukti yang mengaitkan punca COVID-19 dengan makmal penyelidikan P4 di pinggir bandar Wuhan di China.

Pegawai di pejabat presiden juga menjelaskan sehingga kini tiada bukti yang menyokong maklumat di akhbar AS mendakwa COVID-19 berasal dari makmal tersebut.

Konsensus saintifik turut menyatakan bahawa SARS-CoV-2, iaitu nama rasmi koronavirus baharu ini berasal dari kelawar, katanya.