AS jangka beberapa negeri dibuka dalam beberapa minggu akan datang

Trump turut mengumumkan pelan bantuan AS$19 bilion untuk membantu peladang yang terkesan akibat penularan COVID-19. – Gambar AP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menjangka beberapa negeri di AS melonggarkan larangan keluar rumah dalam beberapa minggu akan datang.

Namun Trump menegaskan langkah keselamatan dan kesihatan akan diambil terlebih dahulu untuk memastikan tiada lagi peningkatan dalam penularan COVID-19 di AS.

Dalam masa yang sama, Trump turut mengumumkan pelan bantuan AS$19 bilion untuk membantu peladang yang terkesan akibat penularan COVID-19.

“Seperti yang anda dengar daripada pakar pada hari ini, kita mempunyai kapasiti untuk membuka negeri dan ini akan dilakukan dalam minggu-minggu dan bulan-bulan akan datang.

"Apa yang menariknya, anda akan lihat langkah dramatik dan langkah keselamatan.

“Kami akan utamakan keselamatan dalam membuka negeri ini kembali. Kita telah lakukan langkah yang betul (dengan larangan keluar rumah).

"Kita telah selamatkan berjuta nyawa menerusi langkah ini namun kesannya adalah besar. Tetapi kesan tersebut tidak penting berbanding dengan jumlah nyawa yang diselamatkan.

“Bantuan untuk petani ini termasuk bantuan langsung kepada petani dan pembelian produk susu, daging dan produk pertanian lain. Ini akan disalurkan kepada rakyat yang memerlukan.

"USDA akan menerima AS$14 bilion pada Julai untuk membantu peladang dan petani dan ini adalah wang yang mereka amat perlukan,” katanya.

Trump sebelum ini memberi saranan kepada gabenor negeri-negeri untuk membuka kembali ekonomi negara dalam beberapa bulan mendatang.

Malah, Trump turut mencadangkan beberapa negeri dapat dibuka dalam bulan ini.

Saranan itu termasuk penawaran kriteria seperti penurunan dua minggu angka dalam kes seperti COVID-19 dan juga menjalankan program ujian yang mantap.