AS mohon ekstradisi dua rakyat Malaysia

Kuala Lumpur: Polis menahan dua lelaki warga tempatan di Perak yang dikehendaki pihak berkuasa Amerika Syarikat kerana disyaki melakukan pengubahan wang haram dan jenayah komputer di negara terbabit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, serbuan terhadap dua suspek yang juga ahli perniagaan serta juruanalisa komputer masing-masing berusia lingkungan 40-an dan 30-an itu dilakukan jam 8.45 pagi.

“Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menghantar permohonan ekstradisi pada 3 September lalu terhadap kedua-dua suspek berkenaan dan Jabatan Peguam Negara bersetuju untuk melaksanakan permohonan terbabit.

“Ia adalah selaras dengan peruntukan di bawah Akta Ekstradisi 1992 serta Triti Ekstradisi di antara kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Huzir berkata, kedua-dua suspek itu dipercayai menjalankan perniagaan penjualan artifak permainan seperti kit dan kredit secara tidak sah.

“Pihak forensik juga sudah membuat rampasan terhadap bahan bukti dan dokumen berkaitan di syarikat milik mereka.

“Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran pemberkasan sementara ke atas dua suspek itu pada 11 September lalu.

“Kedua-dua suspek direman di Penjara Sungai Buloh selama 60 hari mengikut Seksyen 16(1) Akta Ekstradisi 19912 serta Artikel 11(4) Triti Ekstradisi di antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Amerika Syarikat,” katanya.