‘AS tidak kemuka bukti’ – WHO anggap dakwaan virus makmal China hanya spekulasi

Dr Michael Ryan menegaskan bukti saintifik yang dikumpulkan setakat ini menunjukkan koronavirus terhasil secara semula jadi. -Gambar Twitter

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan dakwaan Amerika Syarikat bahawa koronavirus punca penyakit COVID-19 berasal dari makmal di Wuhan, China sebagai satu spekulasi.

Amerika Syarikat (AS) sebelum ini berulang kali melemparkan tuduhan tersebut namun gagal mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya.

Semalam Setiausaha Negaranya, Mike Pompeo mengulangi dakwaan tersebut dan mengaku ada bukti kukuh bagi mengesahkannya.

BACA: AS dakwa ada bukti kukuh COVID-19 berpunca dari makmal China

Kenyataan sama turut dikeluarkan Presiden AS, Donald Trump sebelum ini.

Bagaimanapun, Pengarah Program Kesihatan WHO, Dr Michael Ryan menegaskan bukti saintifik yang dikumpulkan setakat ini menunjukkan koronavirus terhasil secara semula jadi.

BACA: WHO nafi COVID-19 buatan manusia, berpunca dari makmal

“Kami tidak menerima sebarang data atau bukti spesifik dari AS mengenai asal-usul virus berkenaan. Jadi daripada perspektif kami, perkara ini kekal spekulasi.

"Sebagai organisasi yang bersandarkan bukti kukuh, kami sedia menerima apa juga maklumat penting yang boleh membuktikan asal-usul virus tersebut.

“Ini adalah satu maklumat yang sangat penting kepada aspek kesihatan awam.

"Jadi, sekiranya AS mempunyai bukti, mereka boleh berkongsi data itu dengan kami, terserah kepada kerajaan AS.

"Adalah sukar bagi WHO sekiranya maklumat ini tidak dikongsi,” jelasnya.

China dalam pada itu dilapor menyelar tuduhan AS dan menganggapnya sebagai "dakwaan tidak berasas."