AS uji ubat anti-malaria ke atas 3,000 pesakit

Anggota Pengawal Kebangsaan Michigan memasang katil hospital di pusat konvensyen Detroit TCF yang ditukar menjadi hospital sementara susulan penularan COVID-19 di Detroit, Michigan, AS, 1 April, 2020. REUTERS

WASHINGTON: Ubat anti-malaria hydroxychloroquine bakal diguna sebagai ujian ke atas 3,000 pesakit di hospital di Detroit, Michigan dan keputusannya akan disemak untuk kajian rasmi, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan Naib Presiden Mike Pence pada Ahad.

Pence memberitahu dalam taklimat di Rumah Putih mereka bersedia untuk membekalkan doktor dan farmasi di kawasan Detroit dengan hydroxychloroquine.

Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata, kerajaan pusat sudah menyimpan sebanyak 29 juta dos hydroxychloroquine.

BACA: COVID-19: Trump jangka lebih banyak kematian di AS 

Minggu lalu, Trump berkata hydroxychloroquine diberikan kepada 1,000 pesakit di New York bersama dengan ubat Z-Pak atau azithromycin.

Pada Sabtu, Pengarah Institut Penyakit Berjangkit dan Alergi Kebangsaan, Dr Anthony Fauci, berkata tiada maklumat tepat yang diperoleh untuk memberikan sebarang ulasan sama ada ubat itu boleh digunakan bagi merawat COVID-19.

BACA: COVID-19: Amerika Syarikat catat rekod kematian tertinggi dalam 24 jam

Amerika meningkatkan pembangunan rawatan untuk pesakit COVID-19 termasuk melakukan ujian menggunakan hydroxychloroquine serta terapi berkaitan darah, ketika jumlah kes dan kematian terus meningkat.

Jumlah kes COVID-19 di negara itu sudah melebihi 337,000 pada Isnin dengan 9,619 kematian, menurut data Johns Hopkins University. 

BACA: Ubat malaria bantu rawat pesakit COVID-19 sejak gelombang pertama

— BERNAMA