Asalkan akhbar jumpa pembaca

WALAUPUN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pengedar surat khabar masih bertungkus-lumus bekerja bagi memastikan akhbar tiba di tangan pelanggan.

Mengakui pelbagai halangan ditempuh termasuk kekangan kewangan berikutan banyak premis tidak dapat beroperasi namun atas rasa tanggungjawab kepada masyarakat, mereka tetap bangun seawal 3 pagi untuk mengedar akhbar.

Bagi Presiden Persatuan Pengedar Akhbar India Perak P Karthik berkata, selepas PKP dilaksanakan, pihaknya mengakui ramai pengedar yang tiada sumber kewangan selepas banyak premis dan gerai tepi jalan ditutup.

“Kita mempunyai permintaan tinggi terhadap akhbar, tetapi orang nak beli mempunyai halangan untuk keluar.

“Bagaimanapun ini bukan masanya untuk menyalahkan sesiapa kerana tiada siapa minta untuk pandemik Covid-19 berlaku,” katanya.

Akuinya, ramai pengedar akhbar di Perak ketika ini tidak mempunyai pekerjaan dan sangat mengharapkan bantuan kerajaan ketika ini.

“Tetapi, ini tanggungjawab kami, kami perlu mengharungi halangan ini untuk menyampaikan akhbar kepada pelanggan demi periuk nasi masing-masing.

“Selain itu, kami sangat berharap majikan dapat membekalkan kami topeng penutup muka dan hidung, sarung tangan dan baju hujan sebagai perlindungan diri daripada wabak,” katanya.

Selain itu, pengedar akhbar di Johor, Chin Ooi Faa berkata, permintaan tinggi kepada akhbar tidak dapat disalurkan kepada premis di negeri itu kerana terpaksa ditutup dalam tempoh PKP.

“Banyak pengedar yang tidak dapat bekerja ketika ini kerana ditahan pihak berkuasa dalam sekatan jalan raya.

“Kami begitu mengharapkan kerajaan memberi sedikit kelonggaran kepada syarikat akhbar terutama pengedar yang mahu menyampaikan berita kerajaan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jualan Bahagian Pengedaran The New Straits Times Press (NSTP) M Prakash berkata, walaupun PKP dilaksanakan, tanggungjawab terletak atas bahunya supaya akhbar dapat tiba di pasaran dan menemui pelanggan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan