Asyik risau diri terkena [METROTV]

“SETIAP hari bangun dalam keadaan waswas dan risau, khuatir diri sendiri dijangkiti virus Covid-19.

“Setiap hari saya akan periksa suhu badan dan periksa simptom penyakit itu kalau ada demam, batuk atau selesema. Saya tidak akan bekerja kerana tidak mahu menjangkiti orang lain,” kata Pegawai Perubatan Wad Covid-19 Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Lim Quan Hziung sebaik ditemui di Wab 4B yang menempatkan wad khas bagi merawat pesakit Covid-19, baru-baru ini.

Kata Lim, dia tidak boleh elak rasa bimbang dengan jangkitan terhadap penyakit itu apatah lagi mengetahui ada rakan sekerja turut dijangkiti penyakit terbabit.

“Selepas tiga minggu merawat pesakit, ada dalam kalangan doktor dan staf kami terkena jangkitan dan itu sebenarnya melemahkan semangat kami selaku petugas barisan hadapan.

“Masa benda itu berlaku kami memikirkan pula nasib sendiri, bila pula giliran kami untuk dijangkiti penyakit berkenaan. Kami tidak boleh peluk atau bertemu keluarga.

“Di sebalik kerisauan itu ada juga rasa lega kerana keluarga berada jauh dan tinggal berasingan. Jadi, tidak akan ada risiko penyakit ini menjangkiti mereka, cuma perlu pastikan diri sihat,” katanya.

Kata Lim lagi, bekerja dalam situasi ‘luar biasa’ ini bukan saja memerlukan sokongan kerja berpasukan tinggi, tetapi ketelitian terutama mematuhi standard operasi digariskan hospital dalam mengatasi insiden jangkitan berlaku antara pesakit dan perawat.

“Rutin saya ketika ini lebih kepada memantau pesakit positif Covid-19 di wad isolasi iaitu hanya seorang pesakit ditempatkan dalam satu bilik yang lengkap mengenakan pemakaian pakaian pelindung diri (PPE).

“Setakat ini, saya terbabit dalam kumpulan doktor yang merawat pesakit dengan penyelidikan ubat Hydroxychloroquine dan ia diberi mengikut keperluan.

“Hasilnya memang ada pesakit diberi ubat ini menunjukkan kesan positif, tetapi kesimpulannya masih awal kerana tidak dapat pastikan sama ada ia disebabkan ubat atau imunisasi pesakit terbabit.

“Bagi pesakit tenat yang memerlukan bantuan oksigen, semua ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan ubat diberi pula berlainan iaitu Tociluzumab iaitu untuk bantu tingkatkan imun sistem badan. Semua ubat ini dalam bentuk tablet,” katanya.

LIM akan periksa suhu badan dan periksa simptom penyakit itu kalau ada demam, batuk atau selesema setiap hari. FOTO NSTP
LIM akan periksa suhu badan dan periksa simptom penyakit itu kalau ada demam, batuk atau selesema setiap hari. FOTO NSTP

Berbanding merawat, kata Lim memaklumkan keadaan pesakit terutama membabitkan pesakit tenat adalah kerja paling sukar.

“Biasalah setiap hari pesakit ini akan bertanya bila boleh pulang. Paling susah ialah pesakit sudah tua dan uzur. Mereka ini tidak faham dan keliru apabila diletakkan di tempat asing.

“Jadi, setiap hari kena terangkan termasuk kepada keluarga yang bimbang dengan keadaan mereka setiap hari. Paling susah apabila pesakit sudah masuk ICU dan tenat.

“Bukan mudah apabila perlu memaklumkan mereka keadaan ahli keluarga mereka yang sudah tenat. Selalunya situasi ini memerlukan doktor memberitahu secara peribadi, tetapi dalam keadaan Covid-19 hanya telefon saja dibenarkan,” katanya.

Lim berkata, tempoh sembuh untuk pesakit berbeza mengikut individu, ada yang mengambil masa 14 hari dan berlarutan sebulan sebelum dibenarkan keluar.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19