Australia bakal jadi negara pertama gesa Facebook, Google bayar kandungan berita

Facebook dan Google digesa supaya membayar agensi- agensi berita Australia kerana penggunaan kandungan berita dalam laman masing-masing. – Gambar unsplash.

SYARIKAT Facebook dan Google digesa supaya membayar agensi-agensi berita Australia kerana penggunaan kandungan berita dalam laman masing-masing.

Gesaan itu dibuat oleh kerajaan Australia sebagai langkah melindungi industri kewartawanan bebas yang ditonton seluruh dunia.

Memetik laporan Reuters pada 31 Julai lalu, Australia akan menjadi negara pertama di seluruh dunia yang menuntut perkara tersebut.

Menurut Bendahari Australia, Josh Frydenberg, langkah itu akan dilaksanakan menerusi kaedah pembayaran royalti seterusnya bakal digubal sebagai undang-undang negara tersebut pada tahun ini.

"Usaha ini bertujuan memberi keadilan kepada media-media yang menjalankan perniagaan berita di Australia.

"Secara tidak langsung kita meningkatkan persaingan, melindungi pengguna dan landskap media secara mampan," katanya.

Pada akhir tahun lalu, kepemimpinan kerajaan Australia membuat rundingan dengan dua firma Amerika Syarikat tersebut, supaya mewujudkan perjanjian sukarela dengan syarikat media susulan penggunaan kandungan berita di dua syarikat gergasi berteknologi tinggi itu.

Bagaimanapun, rundingan itu tiada sebarang perkembangan, dan sekiranya tiada sebarang kata sepakat dicapai dalam tempoh 45 hari, pihak Komunikasi dan Media Australia akan menetapkan syarat secara sah.

Dalam pada itu, Google mendakwa peraturan tersebut mengabaikan 'berbilion klik' yang diberikan kepada penerbit berita Australia setiap tahun.

"Situasi itu hanya menyampaikan mesej kepada perniagaan dan pelabur bahawa kerajaan Australia akan campur tangan, bukannya membiarkan pasaran berfungsi.

"Ia tidak dapat menyelesaikan cabaran dalam mewujudkan model perniagaan yang sesuai dengan era digital," kata Pengarah Urusan Google Australia dan New Zealand, Mel Silva.

Kajian pada tahun lalu menganggarkan 3,000 pekerjaan dalam bidang kewartawanan telah hilang di Australia dalam tempoh 10 tahun.

Keadaan itu dilaporkan berlaku susulan syarikat media menyumbangkan pendapatan iklan kepada Google dan Facebook namun dua syarikat terbabit tidak membayar apa-apa untuk kandungan berita.

Bagi setiap A$100 (RM418) yang dibelanjakan untuk pengiklanan dalam talian di Australia, satu pertiga daripadanya diperolehi Google dan Facebook.