Australia gesa pengharaman pasar jual haiwan liar

Pasar basah di Wuhan ini dipercayai menjadi punca penularan wabak COVID-19. -Gambar fail

CANBERRA: Australia mendesak agar pasar haiwan liar diharamkan di kala kebimbangan ancaman kepada kesihatan manusia dan pasaran hasil tani.

Menteri Pertanian David Littleproud pada Rabu berkata kerajaan Australia telah meminta sokongan negara-negara G20 untuk bersatu dalam memastikan isu ini ditangani.

“Ada risiko yang wujud dalam pasar haiwan liar ini dan ia mungkin beri risiko besar kepada industri pertanian sebagaimana kepada kesihatan awam,” kata Littleproud ketika ditemu bual sebuah stesen televisyen negara itu.

Langkah itu dipercayai bakal mengeruhkan lagi hubungan dengan China selepas Canberra menggesa siasatan antarabangsa terhadap pandemik COVID-19.

Terdahulu, desakan sama disuarakan pegawai Amerika Syarikat (AS) agar pasar menjual haiwan liar di Asia ditutup.

Pandemik COVID-19 yang melanda dunia kini didakwa berpunca daripada sebuah pasar basah di bandar Wuhan, China.

Pasar basah ialah perkara biasa dalam kehidupan seharian masyarakat China, namun tidak semuanya menjual haiwan liar.

China telah mengenakan larangan sementara penjualan haiwan liar pada 23 Januari.

Ia kini sedang menyemak semula akta bagi mengawal penjualan haiwan liar secara terbuka.

G20 ialah forum kerjasama ekonomi antarabangsa membabitkan kerajaan dan gabenor daripada 19 negara dan Kesatuan Eropah (EU).

Selain Australia, China juga merupakan anggota G20.