Australia lancar COVIDsafe untuk bantu kesan individu berkemungkinan dijangkiti

Dengan COVIDsafe, individu disahkan positif boleh mengenal pasti pengguna lain yang telah melakukan kontak rapat dalam tempoh 15 minit atau melebihi tiga minggu sebelumnya. – Twitter @healthgovau

CANBERRA: Kerajaan Australia berpuas hati selepas lebih sejuta rakyatnya memuat turun aplikasi bagi membantu mengesan jangkitan COVID-19 yang diyakini lebih pantas.

Dalam masa 12 jam sahaja, kira-kira satu 1.3 juta daripada 26 juta rakyat Australia telah memuat turun aplikasi yang dinamakan COVIDsafe sejak dilancarkan pada Ahad.

Ketua Pegawai Kesihatan, Damian Murphy pada Isnin memberitahu pihaknya sangat teruja melihat aplikasi tersebut mendapat sambutan baik.

Dengan COVIDsafe, individu disahkan positif boleh mengenal pasti pengguna lain yang telah melakukan kontak rapat dalam tempoh 15 minit atau melebihi tiga minggu sebelumnya.

Menurut pihak berkuasa, penggunaan aplikasi tersebut akan dilakukan secara sukarela, dan semua data akan dirahsiakan.

Bagaimanapun, kerajaan berhasrat mempercepat proses perundangan melalui Parlimen bagi melarang penggunaan data peribadi yang dikumpulkan untuk tujuan selain daripada mengesan individu berkemungkinan mempunyai gejala virus.

Pada masa sama, pihak kerajaan berharap aplikasi itu membantu mengekang penularan COVID-19, sekali gus membolehkan Australia membuka semula aktiviti ekonomi dengan selamat.

Negara itu kini mencatatkan 6,720 kes COVID-19 dengan 83 kematian.