Awas ‘aplikasi sedut wang’

WANG lesap dalam beberapa minit. Itu situasi yang berlaku selepas mangsa melakukan muat turun aplikasi direka sindiket penipuan dalam talian.

Modus operandi terbaharu sindiket penipuan itu dikesan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) selepas menerima laporan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sarawak pada 7 hingga 11 April lalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, pihaknya menerima enam laporan polis daripada mangsa berusia antara 24 hingga 59 tahun membabitkan kerugian RM295,000 bagi tempoh berkenaan.

Katanya, modus operandi sindiket itu membuat panggilan kepada mangsa dipilih secara rawak sebelum menghantar satu pautan melalui WhatsApp dan diarahkan melakukan muat turun aplikasi didakwa daripada Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu bnmsafe (8002).

APLIKASI bnmsafe (8002). FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
APLIKASI bnmsafe (8002). FOTO Nurul Hidayah Bahaudin

“Mangsa kemudian diarahkan mengisi maklumat dalam borang dengan logo BNM berkenaan seperti nombor kad pengenalan, nombor kad ATM, kata laluan dan lain-lain.

“Selepas mendapat maklumat berkenaan, sindiket akan mengakses akaun bank mangsa dan meminta nombor kod pengesahan transaksi (TAC) membuat pemindahan wang ke dalam akaun pihak ketiga.

“Sebaik sahaja proses itu selesai, mangsa diarahkan membatalkan dokumen diisi berkenaan sebelum menyedari wang dalam akaun mereka lesap,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mohd Zakaria berkata, pihaknya sedang mengesan individu yang terbabit dengan sindiket berkenaan.

“Hasil siasatan dilakukan mendapati pautan dan aplikasi berkenaan sudah tiada dalam pencarian internet. Kami percaya ia dihentikan sementara sebelum diaktifkan semula nanti apabila orang ramai leka.

“Justeru, saya menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai mana-mana panggilan yang menyamar sebagai penguat kuasa atau kakitangan daripada institusi kewangan.

“Elakkan daripada memuat turun apa-apa aplikasi yang meminta maklumat peribadi dan perbankan selain jangan menyebarkan maklumat tidak pasti,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang keraguan boleh menghubungi info JSJK (melalui WhatsApp sahaja) di talian 0132111222,” katanya.