Awas! Ini lokasi sasaran COVID-19 pada tubuh anda

Kondisi neurologi seperti sawan, strok, masalah penglihatan dan kecederaan otot turut dialami segelintir kalangan pesakit COVID-19.

KAJIAN awal mengenai COVID-19 menunjukkan virus itu berupaya menyerang beberapa organ tubuh seperti jantung dan otak serta sistem pernafasan.

Walau bagaimanapun, usaha kajian berterusan ke atas virus itu turut mendedahkan beberapa perkara baharu mengenainya.

Malah kajian mendalam masih diteruskan saintis di seluruh dunia dalam memahami cara virus ini menyerang tubuh manusia.

Antaranya, ia mendapati bahawa setiap strain COVID-19 mungkin mempunyai beberapa persamaan, tetapi ia juga mempunyai patogen yang unik yang memberikan tidak balas berbeza kepada tubuh manusia. 

Selain menyerang sistem pernafasan, terutamanya paru-paru sudah wujud bukti saintifik yang menunjukkan bahawa virus yang berpunca daripada sebuah pasar di Wuhan, China ini mampu menyerang bahagian tubuh yang lain.

JANTUNG

Kajian terhadap 400 kes di Wuhan, China mendapati satu perlima daripada pesakit mengalami kecederaan jantung, yang turut mengundang kepada peningkatan risiko maut.

Menurut penulisan Meredith Wadman dan pasukan dalam jurnal Science, serangan virus ini mungkin memberikan kesan langsung kepada laluan ke jantung melalui saluran darah yang rosak akibat kekurangan oksigen yang berpunca daripada kecederaan di paru-paru.

SALURAN DARAH

Jika saluran darah menjadi sasaran COVID-19, maka ia mungkin memberi penjelasan mengapa pesakit darah tinggi berdepan risiko yang lebih tinggi.

Menerusi kajian yang diterbitkan Thrombosis Research menjelaskan wujud sekatan saluran darah (clog) daripada kalangan pesakit yang COVID-19 yang dirawat di unit jagaan rapi.

OTAK DAN SISTEM SARAF

Lebih daripada 1/3 daripada sekumpulan 214 pesakit di Wuhan menunjukkan simptom seperti kehilangan deria bau, rasa dan penglihatan.

Hasil kajian ini memberi indikasi bahawa virus ini mungkin menyerang saraf di bahagian otak.

Kondisi neurologi seperti sawan, strok, masalah penglihatan dan kecederaan otot turut dialami segelintir kalangan pesakit COVID-19.

SALURAN PENCERNAAN

Kajian yang diterbitkan di jurnal Gastroenterology menunjukkan wujud kesan virus COVID-19 dalam najis pesakit.

Sementara laporan lain juga mendapati separuh daripada pesakit mengalami cirit-birit.