Baca jampi ubati koronavirus

Kuala Lumpur: Dakwaan seorang lelaki memiliki kemampuan untuk menyembuhkan individu dijangkiti Covid-19 dengan membaca jampi secara maya, sekali gus mengubati ribuan orang hanya pembohongan.

Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Leftenan Kolonel (Kehormat) Che Hassan Che Johan berkata, perkara itu diketahui selepas pihaknya menerima aduan daripada dua warga Bangladesh yang menjadi mangsa, baru-baru ini.

Menurutnya, lelaki berkenaan turut menawarkan khidmat untuk merawat semua pekerja sebuah kilang di Selangor yang disahkan positif wabak itu, baru-baru ini dengan pakej harga berpatutan.

“Dia juga mendakwa boleh merawat penyakit mengikut keadaan dan sejak dari awal lagi kita kesan ia satu pembohongan kerana menjalankan rawatan secara maya dan mengenakan bayaran tertentu.

“Dengan hanya satu panggilan dalam masa beberapa minit, dia boleh mengetahui jenis penyakit, tahapnya dan kesan kepada pesakit sedangkan ia tidak berlaku pun,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, PPMM akan membawa isu penipuan rawatan berkenaan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan polis bagi tindakan lanjut bagi memastikan tiada mangsa lain terperdaya.

Katanya, pihaknya juga meminta masyarakat agar lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran meragukan, sebaliknya merujuk kepada klinik atau hospital jika berdepan masalah khususnya gejala Covid-19. Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya akan meneliti kes terbabit terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil.

“Jais akan teliti faktanya dan akan dibawa ke jawatankuasa pengawalan akidah untuk penelitian lanjut dan status berkenaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19