Bagaimana Vietnam berjaya tangani krisis pandemik COVID-19?

Retorik peperangan ini diperkenalkan kepada rakyat Vietnam dalam usaha menghapuskan wabak COVID-19 ini. -Foto Astro AWANI

MASUK hari keempat merekodkan kadar sifar dalam kes positif COVID-19, Vietnam secara jelas menunjukkan prestasi yang membanggakan dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Pada awalnya, Vietnam hanya merekodkan sejumlah 270 kes positif koronavirus sejak langkah-langkah pencegahan mula diambil di seluruh negara itu.

Kesemua langkah ini diambil susulan negara jiran, China telah melaporkan kes pertama COVID-19 di bandar Wuhan pada awal bulan Januari lalu.

Dengan itu, langkah pencegahan besar-besaran merupakan satu perkara yang penting buat negara membangun ini bagi mengelakkan penularan wabak tersebut sekaligus mengelakkan kejatuhan ekonomi.

Pasti ramai yang tertanya-tanya, bagaimanakah negara yang memiliki populasi sebanyak 98 juta itu berhasil mengekalkan rekod kes yang kecil dalam masa yang singkat?

Apakah aspek yang boleh dipertimbangkan oleh negara-negara lain dalam memastikan kadar jangkitan kes COVID-19 kekal di tahap yang rendah?

I. Saringan kesihatan dan pemeriksaan suhu badan

Pertama sekali, wakil dari Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Kidong Park berpendapat bahawa, respons segera kerajaan negara itu memainkan peranan yang kritikal dalam usaha membendung penularan wabak ini.

“Vietnam bergerak dengan pantas dan proaktif. Saringan kesihatan mula dilakukan sejak awal Januari lalu,” kata Park.

Langkah yang diambil oleh Vietnam dalam mengimplementasi ujian serta mengeluarkan garis panduan bagi tujuan perlindungan ini dipuji oleh WHO.

Selain itu, pusat-pusat saringan turut dibuka di sekitar kawasan bandar. Penduduk di kawasan yang terdapat kes positif akan turut diuji serta diarahkan untuk berkurung di rumah masing-masing.

Pada 5 Mac lalu, kit ujian mula dikeluarkan dengan harga yang berpatutan iaitu lebih kurang AS$25.

Kit ini telah diluluskan oleh WHO dan boleh didapatkan oleh orang ramai.

Jangka masa yang diambil untuk menentukan keadaan seseorang itu kurang 90 minit. Langkah ini memainkan peranan yang besar dalam menjayakan inisiatif kerajaan itu.

II. Mengumumkan perintah kawalan pergerakan

Vietnam merupakan negara pertama yang melarang kemasukan penerbangan asing ke negara itu.

Warganegara Vietnam yang pulang ke tanah air diarahkan menjalani proses kuarantin selama 14 hari, begitu juga dengan warga asing yang tiba di negara itu.

Pada bulan Mac, Vietnam telah menguatkuasakan perintah berkurung di beberapa lokasi bandar-bandar utama negara itu termasuk Hanoi dan Danang.

Perjalanan dari satu bandar ke bandar yang lain juga dilarang sama sekali.

Difahamkan, mana-mana individu yang mempunyai kontak rapat dengan mereka yang dijangkiti seperti yang diumumkan maklumatnya, perlu tampil menjalani proses kuarantin.

Sekiranya individu didapati telah mempunyai kontak dengan pesakit positif COVID-19, mereka akan dikategorikan dalam kuarantin berwajib.

III. Komunikasi yang mantap dan berkesan

Aspek komunikasi yang digunakan oleh Vietnam juga turut menarik perhatian.

Mereka menggunakan kaedah-kaedah yang unik bagi memberi pemahaman kepada orang ramai tentang bahaya wabak koronavirus.

Inisiatif ini telah bermula sejak awal Januari lagi.

Difahamkan, setiap hari akan terdapat pesanan oleh pemimpin-pemimpin kerajaan seperti Perdana Menteri dan timbalannya bagi menghebahkan peringatan dan maklumat kepada warga tempatan.

IV. Mendapat kerjasama rakyat tempatan

“Setiap peniaga, setiap warganegara, setiap kawasan perumahan wajib menjadi ‘kubu’ bagi  menghapuskan epidemik ini,” pesan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc.

Retorik 'peperangan' ini diperkenalkan kepada rakyat Vietnam dalam usaha menghapuskan wabak COVID-19 ini.

Demikian pesanan tersebut membakar semangat rakyat negara itu untuk berganding bahu menghadapi krisis ini.

Pihak berkuasa juga komited melakukan pengawasan di sekitar kawasan perumahan dan perkampungan.

Walaupun terikat dengan undang-undang yang ketat, rata-rata rakyat Vietnam akur akan tindakan kerajaan mereka.