‘Bahagia sangat hidup’

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan sejak 18 Mac lalu hingga 4 Mei lalu sedikit sebanyak mengubah gaya hidup penyanyi popular, Zizi Kirana.

Jika kebiasaannya Zizi, 35, seorang yang kuat bekerja banyak menghabiskan masa di luar, namun sejak hampir dua bulan ini tidak lagi.

Walaupun kerajaan sudah memberi kelonggaran dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak Isnin lalu, namun aktiviti membabitkan industri hiburan masih tidak dibenarkan.

Akur dan patuh dengan arahan dikeluarkan, Zizi menyifatkan itu normal baharu yang perlu diadaptasi dalam kehidupan apatah lagi jika dibenarkan kembali bekerja selepas ini.

Malah, sambutan Ramadan baharu ini sedikit sebanyak memberi ruang buat Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil bermuhasabah diri.

“Alhamdulillah, Ramadan kali ini disambut dalam suasana yang cukup berbeza. Buat pertama kali rasanya sepanjang hidup saya menjalani ibadah puasa dalam rumah sahaja.

“Kalau tahun sebelumnya, dari hari pertama puasa sudah ada beberapa tuntutan kerja yang perlu dilaksanakan. Itu belum kira menghadiri jemputan berbuka puasa.

Kali ini saya berasa sangat tenang. Tidak perlu nak fikir keluar rumah awal dan bersiap. Hanya duduk di rumah dan tunggu waktu berbuka sahaja. Dalam erti kata lain, bahagia sangat hidup,” katanya.

Apa yang pasti, Ramadan kali ini juga menyuntik hati nuraninya dengan menyaksikan Zizi tampil bertudung.

“Setiap orang pasti ingin menjadi lebih baik dalam hidupnya. Jadi, sempena bulan baik ini apa salahnya jika saya menunjukkan sesuatu yang baik kepada peminat dan masyarakat. Mana tahu berkat bulan baik ini saya berhijrah. Siapa tahu kan? Itu semua ketentuan Allah SWT. Jadi, doakan saja yang terbaik. Sebelum ini ada antaranya yang suka kecam penampilan saya, tapi ingin dijelaskan saya hanya menjadi diri sendiri,” katanya.

SAMBUTAN Ramadan baharu ini sedikit sebanyak memberi ruang buat Zizi bermuhasabah diri.
SAMBUTAN Ramadan baharu ini sedikit sebanyak memberi ruang buat Zizi bermuhasabah diri.

Dalam masa sama, Zizi yang muncul dengan single Eh! berkongsi dia masih bekerja dari rumah dengan menjayakan beberapa program yang diatur secara dalam talian.

“Sebelum ini saya menjayakan konsert ulang tahun Lazada yang mana rakaman dibuat sendiri di rumah. Kemudian, ada beberapa lagi program. Ada juga yang menghubungi secara panggilan video dan terbabit dalam sesi siaran langsung. Ini semua satu lagi pengalaman baharu untuk saya. Rasanya kalau bukan sebab PKP, tak dapat rasa aktiviti baharu sebegini. Sekurang-kurangnya ada juga kenangan dalam diri,” katanya.

Raya di Kuala Lumpur

Seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, perjalanan merentas negeri untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri adalah tidak dibenarkan.

Ini bermakna Zizi terpaksa meraikan Aidilfitri seorang diri di Kuala Lumpur.

Zizi berkata, dia reda memandangkan mempunyai pengalaman sama beberapa kali sebelum ini.

“Sewaktu Perdana Menteri umumkan tak boleh balik kampung, saya okey sahaja. Tipu kalau tak sedih, tapi nak buat macam mana. Inilah nasib menjadi anak perantauan. Ini bukan kali pertama tak dapat beraya di kampung. Saya sudah ada pengalaman tiga kali tak balik beraya disebabkan komitmen kerja.

“Jadi, tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Lagipun, selama ini saya memang suka duduk seorang diri. Ia bukan sesuatu yang asing buat saya,” katanya yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.

Dalam perkembangan lain, Zizi bersyukur apabila lagu Eh! terus menjadi siulan peminat.

Malah, muzik video yang dimuat naik sejak lima bulan lalu mencecah tontonan 10 juta di saluran YouTube.

“Terima kasih atas sokongan semua. Setiap hari ada sahaja saya mendapat mesej di Instagram (DM) dan video di IG Stories. Sebagai penyanyi, ia cukup menggembirakan apabila karya kita diminati. Insya-Allah, jika penularan Covid-19 ini sudah selesai, saya dan pasukan merancang untuk menghasilkan single baharu. Tapi, kena tengok keadaan dulu,” katanya.