Bahana cemburu buta

Mexico City: Cemburu buta seorang isteri memakan diri apabila ditahan pihak berkuasa kerana menikam suaminya selepas mengesyaki lelaki itu menjalin hubungan sulit.

Wanita itu curiga dicurangi selepas melihat gambar seorang wanita lebih muda di dalam telefon bimbit suaminya, namun tidak menyedari gambar itu dirinya sendiri.

Yucatan Magazine melaporkan wanita itu yang hanya dikenali sebagai Leonora N mengambil pisau selepas berang melihat gambar itu dan mendakwa suaminya ada perempuan lain.

Susulan kejadian, Leonora dari bandar Cajame di Mexico ditangkap kerana mencederakan suami yang dikenali sebagai Juan N dengan pisau.

Juan bernasib baik dapat melepaskan diri daripada serangan ganas isterinya dan menjelaskan gambar itu adalah Leonora yang diambil beberapa tahun lalu.

Foto yang menggunakan kamera filem itu dirakam ketika pasangan berkenaan mula bercinta dan Juan menukarnya kepada imej digital sebelum disimpan di telefonnya.

Leonora dilaporkan tidak mengenali dirinya kerana wanita dalam gambar itu lebih muda, kurus dan mengenakan solekan.

Suaminya hanya dapat menjelaskan perkara itu selepas melepaskan diri.

Namun, ia sudah terlambat apabila jiran di kawasan mereka mendengar kekecohan di rumah itu.

Polis dipanggil dan pegawai tiba di tempat kejadian berikutan menerima laporan berhubung insiden di rumah pasangan itu.

Ketika pegawai tiba, mereka mendapati suami Leonora ditikam berkali-kali di kaki dan lengannya.

Media tempatan melaporkan wanita itu ditahan pihak berkuasa.

Kes itu dilaporkan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara.