Bahana degil

PEMOTONGAN gaji sehingga 50 peratus kemungkinan bakal dikenakan terhadap pemain yang masih gagal mencapai kata sepakat bersama pasukan masing-masing selepas tempoh perbincangan berakhir pada Rabu lalu.

Pemotongan hampir separuh itu adalah antara jumlah yang bakal ditentukan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) selepas badan induk dunia itu mengeluarkan pekeliling bertajuk Isu Terhadap Peraturan Bola Sepak Fifa Covid-19.

Menerusi pekeliling itu, Fifa menggariskan beberapa perkara termasuk ‘Perjanjian Yang Tidak Dapat Dilaksanakan Seperti Dijangkakan’ di mana Fifa menggalakkan kelab dan pemain untuk membuka jalan kepada rundingan dalam mencari kata sepakat sepanjang krisis Covid-19 ini, termasuk cadangan penstrukturan penggajian sementara.

Seperti mana proses yang diterangkan oleh Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John Paul kepada Arena Metro sebelum ini, Fifa boleh menentukan sendiri jumlah pemotongan yang difikirkan perlu terhadap pemain yang berdegil enggan berunding dengan pasukan.

Tindakan itu bagi meringankan beban kewangan pasukan masing-masing sepanjang wabak pandemik Covid-19 ini.

Difahamkan, mekanisma jumlah pemotongan turut akan mengambil kira bantuan kewangan yang disalurkan oleh kerajaan negara masing-masing seperti di Malaysia kerajaannya menyediakan bantuan berbentuk pengecualian pembayaran kereta, rumah dan lain-lain lagi kepada pihak bank termasuk pemberian Bantuan Prihatin Nasional (BPN) buat semua golongan.

Lantas, ia memberi isyarat bahawa pemain yang bergaji besar namun enggan membuat pemotongan gaji bakal menggigit jari dengan kehilangan separuh gaji mereka berbanding beberapa pasukan Liga Malaysia yang sudah berjaya mencapai persetujuan bersama dengan pemotongan dari 5 peratus hingga 30 peratus.

Seperti mana yang dijelaskan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, pihaknya ketika ini sedang meneliti dokumen yang sudah diterimanya sebaik tempoh perbincangan itu berakhir Rabu lalu.

Katanya, hasil penelitian itu FAM akan membawanya kepada Fifa sebelum satu keputusan dibuat mengenai status pemotongan gaji terutama buat pemain yang gagal berunding.

Walaupun beliau tidak menyatakan jumlah pemotongan, namun berdasarkan bentuk bantuan daripada pihak kerajaan Malaysia ternyata ‘kedegilan’ pemain akan menyaksikan mereka kehilangan ribuan ringgit.

“Untuk makluman semua, FAM sudah menetapkan sehingga jam 11.59 malam pada Rabu, 22 April lalu untuk semua pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysia 2020 menghantar status perbincangan bersama di antara pasukan atau kelab dengan pemain dan pegawai serta laporan status kewangan pasukan atau kelab masing-masing kepada Sekretariat Agung FAM.

“Justeru, Sekretariat Agung FAM meneliti dan menganalisis semua laporan dan dokumentasi tersebut dan turut berkomunikasi dengan Fifa dan AFC.

“Ia bagi mendapatkan pandangan serta maklum balas daripada mereka sebelum membuat satu keputusan selanjutnya,” kata Stuart.