Bakal Ketua Menteri Sabah diumum beberapa jam lagi [METROTV]

Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah yang baharu akan diumumkan beberapa jam lagi, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Tanpa memberikan waktu spesifik, beliau membayangkan pengumuman itu akan dibuat pada sebelah pagi, sebelum calon berkenaan mengangkat sumpah di Istana Negeri di sini.

Ditanya sama ada Ketua Menteri akan dipilih daripada barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) PN atau Barisan Nasional beliau berkata : “Biarlah ia menjadi teka teki.”

Beliau memberi reaksi itu kepada media selepas kira-kira dua jam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terdiri daripada PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) secara rasmi membentuk kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan majoriti mudah, 38 kerusi.

Terdahulu, beliau bersama pimpinan GRS termasuk Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee mengadakan mesyuarat secara tertutup.

Mesyuarat sama turut diadakan secara berasingan oleh pimpinan BN.

HAJIJI. FOTO Arkib NSTP
HAJIJI. FOTO Arkib NSTP

Hajiji, yang mempertahan kerusi DUN Sulaman, sebelum ini disebut-sebut sebagai antara calon Ketua Menteri selain Pengerusi BN Datuk Seri Bung Mokhtar Radin.

Ditanya sama ada keputusan memilih ketua menteri yang akan diumumkan itu telah dibincang oleh keseluruhan pimpinan GRS, beliau hanya berkata: “Kita masih tunggu kerana banyak wakil rakyat kita dari jauh, dari pedalaman. Kita tunggu dan akan buat satu pengumuman bersama mereka,” katanya.

Sebelum ini, nama Hajiji disebut-sebut sebagai calon Ketua Menteri Sabah apabila GRS berjaya menumbangkan Warisan Plus pada PRN ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin ada memberi bayangan kemungkinan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah itu dilantik sebagai Ketua Menteri jika gabungan PN dan parti sekutunya memenangi PRN Sabah.

Perdana Menteri memberi bayangan itu ketika berucap di Pejabat Bersatu Tuaran sebelum mengemukakan pencalonan bagi kerusi DUN Sulaman di Dewan Seri Sulaman, 12 September lalu.

Keputusan terkini MyUndi • Klik di sini untuk berita lanjut

Lagi berita berkaitan PRN Sabah