Bakat luar biasa Isabelle

Tuaran: Isabelle Lonjuing Sayeed sekali lagi mengharumkan nama negara apabila mencipta rekod sebagai kapten polo termuda di Asia Tenggara menerusi catatan Kuala Lumpur Academy of Polo.

Sebelum ini, remaja perempuan kelahiran Penampang, Sabah berusia 13 tahun itu menerima lesen pelatih profesional dan Stable Agent pada 26 November lalu daripada Royal Sabah Turf Club (RSTC), sekali gus menjadi pelatih serta penunggang kuda termuda di dunia.

Isabelle yang kini menjadi kapten pasukan polo wanita pertama di Sabah, El Venato Polo Team dan mempunyai empat anak murid berkata, usaha mengetengahkan sukan lumba kuda di tanah kelahirannya sentiasa dipergiat bagi memperkenalkan sukan terbabit kepada generasi muda atau peminat kuda.

Menurutnya, melalui usaha itu, ia secara tidak langsung memperlihatkan hasil gigih latihannya menunggang kuda selama ini bagi mendapatkan pengiktirafan antarabangsa.

“Lesen ini membuktikan usaha keras saya berbaloi dan berharap pada masa akan datang, saya berjaya membawa pasukan kami mengetengahkan bidang menunggang kuda sama ada untuk acara sukan atau sebaliknya,” katanya ditemui di RSTC Tuaran, semalam.

Menurutnya, dia kini mempunyai 10 ekor kuda di Tuaran, Kota Belud dan Beringgis, Papar dan dijadualkan meneruskan latihan lumba kuda di Amerika Syarikat (AS) pada Julai sehingga Ogos tahun itu.

“Selepas itu, saya akan kembali ke Sabah untuk meneruskan latihan dengan anak murid sebelum berangkat ke Argentina pada tahun 2023 untuk menjalani latihan peringkat lebih tinggi selama setahun.

“Sebaik kembali ke tanah air, saya akan mengurus International Standard Polo And Equestrian Club di Papar, Sabah,” katanya.

Selain menjadikan ayahnya, Adil Sayeed yang juga pemain Polo Club sebagai mentor, Isabelle turut menjadikan Tokoh Sukan, Grand Master Sensei David Wang sebagai mentor dan sentiasa mengambil peluang berlatih di bawah bimbingannya.