Bakti doktor cantik

London: Pakej cantik dan bijak sesuai diberikan kepada Ratu Cantik England, Bhasha Mukherjee yang menamatkan misi kerja amal di luar negara dan pulang ke negara asalnya bagi membantu pasukan barisan hadapan berdepan Covid-19.

Wanita cantik itu menggantung seketika stetoskop selepas memenangi pertandingan berkenaan pada Disember 2019 dan diundang ke beberapa negara untuk melakukan kerja amal.

“Saya dijemput ke Afrika, Turki, kemudian ke India, Pakistan dan beberapa negara Asia selaku duta kerja kebajikan.

“Bagaimanapun, selepas situasi Covid-19 makin memburuk, saya dapat mesej daripada rakan sekerja di Pilgrim Hospital, Boston meluahkan keadaan semasa yang semakin kritikal.

“Saya hubungi hospital dan memaklumkan mahu kembali bertugas dan menggantung seketika gelaran ratu cantik demi tugas menyelamat,” katanya kepada CNN.

Wanita berusia 24 tahun itu berkata, kurang wajar untuknya bergelar Miss England dan melakukan kerja amal sedangkan satu dunia bertungkus-lumus melawan virus itu.

“Saya mahu pulang ke England dan terus masuk kerja. Naluri saya mengatakan, ini tujuan kelulusan ijazah yang saya miliki, untuk jadi sebahagian daripada orang penting ketika ini.

“Sangat mengagumkan apabila satu dunia menghargai barisan hadapan yang bertugas dan saya mahu jadi seorang daripada mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Bhasha menjalani kuarantin diri terlebih dahulu selama satu atau dua minggu sebelum kembali bertugas di hospital berkenaan.

Bhasha doktor pakar dalam perubatan pernafasan, namun berikutan jumlah doktor tidak mencukupi mereka perlu melakukan tugas lain juga.

United Kingdom mencatatkan lebih daripada 48,000 kes Covid-19 dan hampir 5,000 kematian.