‘Balik kita gomo lah’

Kuala Lumpur: Selepas empat bulan berada di Belgium, penyerang kelab KV Kortrijk (KVK) dari Malaysia, Luqman Hakim Shamsudin mengakui mula merindui masakan tempatan.

Dia yang baru pulih daripada kecederaan hamstring amat merindui masakan ikan singgang berserta budu yang juga makanan kegemarannya.

Luqman, 18, sebelum ini menjalani proses pemulihan selepas mengalami kecederaan hamstring di mana otot paha kanannya disahkan koyak 2 sentimeter dan perlu berehat tiga minggu.

Kecederaan itu dialami ketika menjalani sesi latihan sehari selepas perlawanan menentang RSC Anderlecht pada 24 Oktober lalu.

Jelas Luqman, sekiranya dapat kembali ke tanahair ketika cuti pra musim saingan Liga Jupiler Belgium nanti, menu pertama yang akan dicarinya sudah tentu ikan singgang dan budu.

“Setakat ini, makanan Malaysia memang ada rindu sebab kita duduk negara luarkan, makanan dia orang lain (Belgium) dan sihat-sihat semuanya. Saya kat sini pun amalkan makanan yang sihat-sihat.

“Jadi, rindu sangat ikan singgang lah dengan budu…itu biasa (rindukan masakan negara). Saya (di Belgium) aturkan sendiri program makanan saya. InsyaAllah kalau dapat balik Malaysia nanti, kita gomo lah (ikan singgang dan budu), kita gomo, kita gomo,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

Terdahulu tonggak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu muncul pemain pertama negara yang beraksi di pentas utama liga Eropah apabila mengikat kontrak selama lima tahun dengan KVK.

Dia yang lahir daripada Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) tidak menunggu lama untuk memperagakan impaknya apabila sudah meledak dua gol buat skuad B-21 KVK sebelum ini.

Ketajamannya berjaya menambat hati pengurus KVK, Yves Vanderhaeghe yang menurunkan bintang muda sensasi negara itu ketika menentang RSC Anderlecht sekaligus melakar sejarah sebagai anak tempatan pertama tampil di liga Belgium.

Berkongsi kehidupannya di Kortrijk, dia gembira dan mahu memberi 100 peratus fokus kepada kerjayanya di negara yang menduduki ranking nombor satu dunia itu.

“Saya gembira sangat, saya tak tertekan apa-apa. Saya tak ada kecewa apa-apa, rindu itu biasalah, rindu keluarga dan semuanya. Kita sebagai pemain duduk di luar dengan keluarga angkat kat sini, itu perkara biasa.

“Apa yang saya buat sekarang fokus kepada bola sepak saya, dan saya gembira di sini. Layanan mereka di sini semuanya bagus,” katanya.