Bangga anugerah pertama

TANPA disedari pelakon, Miller Khan sudah 14 tahun mencipta nama di persada seni Indonesia. Tempoh lebih sedekad yang bukan sahaja mematangkan diri, tapi menghidupkan lagi kerjayanya untuk terus dinikmati.

Mengambil keputusan untuk berhijrah ke negara jiran bagi mengembangkan bakat lakonan dianggap percaturan yang berjaya sehingga mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pelakon terkenal di sana.

Dari pelakon biasa, Miller, 33, atau nama sebenarnya Mohammad Suhaemi Ali Dad Khan kini bergelar bintang ternama selepas deretan drama, filem dan siri antarabangsa yang dibintangi membawa namanya ke kedudukan yang diimpikan setiap anak seni. Dalam erti kata lain, Miller sudah berada di kelas tersendiri.

Dalam meraikan 14 tahun kerjayanya, Miller baharu sahaja dinobatkan Best Actor In A Supporting Role pada Asian Academy Creative Awards menerusi siri The Bridge 2 yang ditayangkan disaluran penstriman Viu Original.

Lebih menarik, pada acara sama Miller turut tercalon dalam kategori Best Actor In A Leading Role menerusi siri Assalamualaikum Calon Imam.

“Tercalon dalam dua kategori sudah cukup membuatkan saya bersyukur kerana acara itu sangat besar dan berskala Asia serta dinilai oleh barisan juri profesional dari setiap negara.

“Saya sangat berterima kasih kepada semua juri yang menilai dan menghargai bakat lakonan saya. Ini kemenangan pertama dan terbesar saya sepanjang 14 tahun berlakon. Tiada kata-kata dapat digambarkan selain rasa syukur dan gembira,” katanya.

Paling membanggakan Miller juga, apabila pencalonan itu adalah bagi mewakili Malaysia, tanah tempat tumpah darahnya.

“Sejujurnya, saya tidak menjangka sama sekali tercalon, sekali gus mewakili Malaysia. Namun, jauh di sudut hati memang teringin. Biarpun bekerja di luar, tapi masih boleh membawa nama tanah air ke acara berprestij luar negara dan akhirnya menang.

“Secara peribadi, ia sangat membanggakan buat diri sendiri dan kerjaya yang dibina. Saya anggap ini adalah rezeki. Doakan saya juga untuk pencalonan pada Asian TV Awards ke-25 juga mewakili Malaysia yang berlangsung pada 16 Januari tahun depan. Mudah-mudahan boleh bawa anugerah lagi,” katanya.

MILLER berbesar hati wakili negara, sekali gus menang dalam acara berprestij
MILLER berbesar hati wakili negara, sekali gus menang dalam acara berprestij

Cabaran dalam The Bridge

Mengimbas kembali kemunculannya dalam The Bridge musim kedua, Miller berkata, watak Arif sangat mencabar, namun memberikan banyak pengalaman berharga.

“Cabaran yang sangat bererti. Banyak pembelajaran baharu seperti berlatih seni bela diri dengan berlatih mengunakan senjata karambit. Bagi saya, watak ini juga bagus dan banyak ruang untuk saya terokai.

“Apa yang pasti, saya bangga boleh menjadi sebahagian daripada keluarga The Bridge dan diberi kepercayaan besar. Terima kasih Sahana dari Viu serta Min Lim dari Double Vision kerana mempercayai bakat saya dan peluang diberikan,” katanya.

Seperkara yang Miller tidak boleh sembunyikan adalah dia hampir menangis saat namanya diumumkan sebagai pemenang.

“Dengan kerja keras bagi memberikan lakonan terbaik dalam siri ini sehingga tercalon dan menang, diakui saya sangat puas. Saya bahkan, hampir menangis ketika nama disebut.

“Bukan apa, tercalon bersama barisan aktor hebat dari pelbagai negara sudah cukup membanggakan diri sendiri. Saya akan terus belajar dan berkarya,” katanya.

Ditanya adakah dia akan lebih banyak melakonkan watak seperti dalam The Bridge 2, Miller berkata, menjadi pelakon yang bagus perlu berani mencuba pelbagai watak.

“Pada acara itu saya dicalonkan untuk dua karakter yang berbeza iaitu Alif dalam Assalamualaikum Calon Imam dan Arif dalam The Bridge 2. Kedua- dua watak ini bagaikan langit dan bumi.

“Jadi, sebagai pelakon saya terbuka untuk membawakan karakter apa saja. Setiap karakter itu, ada keunggulan tersendiri. Semakin mencabar, ia semakin bagus,” katanya.