‘Bapa sewa’

Sydney: Pernahkah anda terfikir peranan sebagai ayah adalah perkhidmatan yang boleh disewa?

Bagi pemandu trak, Jake Orr dari New South Wales, Australia, perkara itu bukannya mustahil.

Lelaki itu menawarkan dirinya untuk ‘disewa’ sebagai ayah dengan bayaran 16 Pound Sterling (RM87) sejam.

Dia kemudian akan mengisi masa itu dengan mendampingi kanak-kanak yang tidak mempunyai bapa.

Orr berkata, beliau mempertimbang karier itu sebagai kerjaya baharu.

Selain itu, perkhidmatannya juga menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggannya termasuk ibu tunggal yang mempunyai anak yang masih kecil.

Portal Daily Mirror melaporkan lelaki itu turut memuat naik iklan di Facebook (FB) dengan mengemukakan soalan: “Adakah bapa anak anda membuat perangai?”

Antara lain, Orr menawarkan khidmat bapa sewa untuk sekali atau dua kali sebulan dan menghadiri semua acara sukan kanak-kanak terbabit.

Selain itu, dia akan mengisi masa dengan budak berkenaan dengan tiga pilihan aktiviti.

Dia juga mengajar mereka mengenai kemahiran hidup termasuk memotong rumput.

Selain itu dia juga menawarkan perkhidmatan premium seperti hadir sebagai bapa pada majlis ulang tahun kanak-kanak dan berswafoto bersama mereka.

Malah, lelaki itu juga boleh memasukkan status hubungan olok-olok mereka sebagai bapa dan anak di Facebook.

Bagaimanapun, harga untuk perkhidmatan ini melebihi RM90 setiap jam, manakala bayaran tambahan 20 peratus dikenakan pada hari Ahad, selepas jam 4 petang.

Selain semua pakej itu, mereka yang berminat juga boleh menempah waktu privasi bersama Orr termasuk makan malam.

Bagaimanapun, pelanggan perlu membayar harga makanan. Hantaran (posting) lelaki itu di FB mendapat perhatian warganet sehingga dikongsi lebih 1,000 kali.