‘Batal, tunda liga tahun ini’

BATALKAN saingan liga tahun ini dan bermula kembali pada 2021. Itu cadangan bekas bintang bola sepak kebangsaan Datuk Jamal Nasir apabila melihat pastinya akan timbul pelbagai masalah pada masa akan datang berikutan kesuntukan masa selain jadual perlawanan terpaksa dirombak hingga pasti mengundang rasa tidak puas hati beberapa pihak.

Malah, saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mahu orang ramai elak berhimpun dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan hingga setahun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jelas sekali akan merugikan banyak pihak apabila saingan Liga Malaysia (Liga M) berlangsung dalam suasana tanpa penyokong.

Beliau berkata, pihak berkaitan perlu melupakan saingan Liga M pada musim ini memandangkan tempoh terlalu singkat termasuk membabitkan perlawanan Piala Malaysia dan FA, sekali gus penyusunan jadual terlampau padat hingga menimbulkan masalah lain.

“Ini pendapat peribadi saya iaitu saingan Liga M dan perlawanan lain seperti Piala Malaysia dan FA pada tahun ini ditunda atau dibatalkan berikutan keadaan semasa tidak mengizinkan.

“Sudah pasti perkara ini dilihat seperti tidak masuk akal namun hakikatnya perlu kita terima demi memastikan keselamatan penonton dan semua yang berkaitan terjamin.

“Jika kita lihat temasya Olimpik 2020 juga ditunda pada tahun depan demi keselamatan dan Liga M juga boleh berbuat demikian dengan bermula pada awal 2021 seterusnya tiada sebarang gangguan atau mengharungi jadual padat,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum itu, Menteri Kanan, Ismail Sabri Yaakob menegaskan sebarang bentuk perhimpunan tetap tidak akan dibenarkan meskipun kemungkinan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Dengan mengambil contoh Majlis Konvokesyen di Institut Pengajian Tinggi, beliau menjelaskan kerajaan tidak akan membenarkan rakyat berkumpul bagi mengelak wabak pandemik Covid-19 kembali aktif menular.

Kenyataan beliau itu hadir selepas minggu lalu KKM melalui Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyeru supaya masyarakat tidak menyertai sebarang bentuk perhimpunan untuk satu jangka masa panjang dalam tempoh enam bulan atau setahun.

Sementara itu, Jamal berkata, berkaitan pembayaran gaji pada musim ini, pemain dan pasukan boleh berbincang bagi mendapatkan pembayaran secara pukal dengan persetujuan bersama. “Pemain dan pasukan boleh berunding mungkin mendapatkan bayaran untuk tempoh lima bulan sekali gus boleh merancang perbelanjaan sehingga keadaan kembali reda,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan