Bayi 18 hari positif Covid-19 [METROTV]

BAYI berusia 18 hari menjadi individu termuda di Malaysia dijangkiti Covid-19.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan wujud jangkitan Covid-19 daripada ibu mengandung kepada bayinya selepas proses kelahiran.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bayi itu disahkan positif wabak itu ketika berusia 18 hari.

“Memang ada kes tetapi kita tidak pasti sama ada jangkitan itu berlaku ketika di dalam kandungan atau sebaliknya,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, proses kelahiran bayi berkenaan bagaimanapun berjalan lancar.

“Tiada sebarang komplikasi berlaku semasa proses kelahiran,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata, terdapat tiga faktor serangan strok dalam kalangan pesakit Covid-19 terutamanya membabitkan usia muda.

“Terdapat tiga faktor serangkai yang menyebabkan pembekuan darah di saluran darah berlaku. Apabila virus masuk ke dalam darah ia akan menyebabkan tiga faktor aliran darah terjejas,” katanya.

Katanya, apabila ada inflamasi (keradangan) darah akan menjadi pekat dan mudah membeku.

“Virus menyerang dinding saluran darah dan menyebabkan luka sebelum proses thrombus (saluran darah tersumbat) berlaku,” katanya.

Tambahanya, individu yang mempunyai penyakit obesiti atau dirawat di hospital yang tiada pergerakan tertentu juga menyebabkan pengaliran darah lambat.

“Ketiga-tiga faktor ini menyebabkan saluran darah tersumbat. Jika ia berlaku di kepala, strok boleh berlaku dan jika saluran darah tersumbat di jantung akan berlaku serangan jantung,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggariskan tiga faktor untuk sesebuah negara mengisytiharkan darurat akibat pandemik Covid-19.

“Faktor pertama apabila banyak kematian berlaku, kedua jangkitan dengan mudah dan cepat serta terakhir ekonomi.

“Di Malaysia, kita ada tiga faktor ini di peringkat awal iaitu pertengahan April apabila kes naik mendadak,” katanya.

Katanya, negara kini dalam fasa pemulihan dan berharap sektor ekonomi juga dapat berfungsi seperti biasa tetapi mengikut syarat dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KKM.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19