Bayi empat bulan positif COVID-19 selepas pulang dari Malaysia

Bayi tersebut yang disahkan positif COVID-19 kini menerima rawatan di Hospital Mohammad Hoesin di Palembang. Gambar fail.

SEORANG bayi berusia empat bulan disahkan positif COVID-19 setelah pulang ke Ogan Ilir, Sumatera, Indonesia bersama ibunya yang sebelum ini bekerja di Malaysia.

Selain bayi berkenaan, 12 kes lain turut dikesan di Sumatera Selatan pada Jumaat, memetik laporan The Jakarta Post.

“Ujian swab menunjukkan bayi tersebut positif COVID-19. Ibunya pula disahkan negatif,” kata ketua jawatankuasa COVID-19 Sumatera Selatan, Zen Ahmad dalam sidang media pada Jumaat lalu.

Bayi tersebut kini menerima rawatan di Hospital Mohammad Hoesin di Palembang.

Ibunya antara pekerja migran yang baru pulang dengan mengambil penerbangan dari Malaysia ke Medan dan kemudian membuat perjalanan darat ke Palembang.

Apabila salah seorang penumpang daripada kumpulan itu disahkan positif COVID-19 pada 13 April, kesemua penumpang ditempatkan di perkampungan atlet Jakabaring.

Kata Gabenor Sumatera Selatan, Herman Deru, semua pintu masuk wilayah itu akan terus dipantau sementara pelancong dan pekerja migran yang pulang akan disaring dan dikuarantinkan di perkampungan atlet berkenaan.