Beberapa negara lain turut longgarkan sekatan demi kelangsungan ekonomi

Pasukan keselamatan India sangat ‘agresif’ sewaktu mula-mula menguatkuasakan perintah ‘lockdown’ di negara berpopulasi padat itu. – Reuters

BEBERAPA sekatan pergerakan yang sebelum ini dikuatkuasakan bagi mengekang penularan COVID-19 mula ditarik semula secara perlahan-lahan.

Susulan penurunan kes positif COVID-19, beberapa negara mengambil keputusan untuk membuka semula ekonomi di negara masing-masing.

Bagaimanapun, negara seperti Sepanyol, Itali dan India masih menerapkan garis panduan yang wajib dipatuhi semasa pengoperasian semula ekonomi.

Sepanyol

Di Sepanyol, kedai-kedai kecil termasuk restoran dan kedai gunting rambut kembali beroperasi pada Isnin selepas negara itu memulakan fasa ketiga untuk mengangkat semula perintah lockdown yang dikuatkuasakan sebelum ini.

Di Madrid, rakyat tempatan yang mula keluar untuk melakukan aktiviti harian dilaporkan menggunakan penutup mulut dan hidung.

Bagaimanapun, keadaan masih belum seperti biasa walaupun kedai-kedai sudah dibenarkan beroperasi semula.

Dengan normal baharu, mereka perlu menggunakan garis panduan seperti penjarakan sosial satu meter bagi meneruskan usaha mengekang penularan COVID-19.

Sebelum ini, sejak pelaksanaan lockdown pada 14 Mac lalu, hanya orang dewasa dibenarkan keluar rumah untuk mendapatkan bekalan keperluan asas seperti ubat-ubatan.

Lockdown di negara tersebut merupakan perintah yang paling ketat berbanding negara lain dan mereka berjaya menunjukkan penurunan kadar kes positif COVID-19 sehingga 20 peratus berbanding 1 peratus sebelum ini.

Setakat Isnin, negara tersebut merekodkan 217,466 kes positif COVID-19 dengan 25,264 kematian.

Itali

Di Itali, perkhidmatan awam kembali beroperasi di Rome pada Isnin dengan garis panduan keselamatan yang ditetapkan.

Selepas dua bulan perintah lockdown dilaksanakan di negara itu, rakyat bandar itu kembali bekerja seperti biasa.

Garis panduan yang ditetapkan seperti penjarakan sosial membuatkan orang ramai berasa selamat untuk kembali bekerja.

Bagaimanapun beberapa sektor masih belum dibenarkan beroperasi sepenuhnya tetapi bermula Isnin mereka dibenarkan melakukan persiapan pembukaan semula minggu hadapan.

Ia termasuk kerja-kerja pembersihan di kedai makan.

Setakat Isnin, Itali merekodkan 210,700 kes positif COVID-19 dengan hampir 29,000 kes kematian.

Namun, dengan pembukaan semula ekonomi, kerajaan negara itu bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan termasukan peningkatan kes positif.

Portugal 

Sementara itu di Portugal,  walaupun kelonggaran mula dilakukan pada Isnin, tetapi pihak berkuasa menegaskan rakyat negara itu untuk terus bekerja dari rumah sehinggar akhir Mei.

Selepas pengisytiharan kecemasan negara itu berakhir minggu lalu, beberapa kedai kembali beroperasi pada Isnin.

Begitu juga perkhidmatan awam seperti keretapi yang sudah mula beroperasi pada Isnin tetapi dengan ketetapan yang ditetapkan seperti penggunaan topeng mulut dan hidung.

Aktiviti riadah dan bersukan juga sudah boleh mula dilakukan dengan syarat tidak menghimpukan lebih 10 orang pada satu-satu masa.

Bagaimanapun, langkah ini akan dipantau dari semasa ke semasa bagi mengurangkan penularan COVID-19.

India 

Di India, lockdown yang dikuatkuasakan selama lima minggu menunjukkan penurunan kadar penambahan kes positif COVID-19 secara mendadak.

Justeru, kelonggaran mula dilakukan pada Isnin.

Beberapa sektor seperti sektor pembinaan dan sektor perkhidmatan kembali beroperasi di negara itu.

Bagaimanapun, beberapa kawasan di negara itu masih melaksanakan perintah lockdown sepenuhnya sehingga 18 Mei ini.

Setakat ini, India mencatatkan 42,500 kes positif COVID-19 dengan 1,373 kematian.

BACA: Perintah berkurung di India dilonggarkan, kedai arak pula yang 'diserbu' ramai