Bekas guru, kini gelandangan

MEMILUKAN apabila bekas guru yang pernah berjaya dalam perniagaan kini terpaksa menjadi gelandangan di Kuantan.

Lelaki berasal dari Pontian, Johor itu antara 38 gelandangan di sekitar bandar itu yang diselamatkan pihak berkuasa, baru-baru ini.

Mereka kini diletakkan di Pusat Gelandangan Sementara di Kuantan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Ali, 74, (bukan nama sebenar) berkata, dia nekad meninggalkan tugas guru Matematik dan Sains di beberapa sekolah menengah di Kuala Lumpur, Kelantan dan Pahang.

Dia berkata, ia bagi mengejar pendapatan lebih lumayan dalam bidang pembinaan.

Katanya, kehidupannya berjalan lancar dengan rezeki dalam dunia perniagaan, berkahwin sebelum dikurniakan empat anak.

Bagaimanapun, episod kecelaruan dalam hidupnya berlaku tanpa diduga apabila perniagaannya merudum dan terpaksa ditutup.

“Pada usia yang semakin lanjut tanpa diduga saya disisih oleh keluarga, wang simpanan yang dimiliki sebelum ini semakin hari semakin berkurangan dan akhirnya semuanya habis.

“Tanpa sumber kewangan, akhirnya saya terpaksa menjadi gelandangan di bandar ini selama lima tahun dengan makan dan minum bergantung kepada sumbangan insan prihatin setiap hari,” katanya.

Ali mendakwa, dia tidak pernah menduga terpaksa mengharungi kehidupan daif dan pada masa sama, tidak mendapat khabar daripada anaknya.

“Saya reda dengan apa yang dialami hari ini, ketentuan Yang Maha Esa pasti ada hikmahnya,” katanya yang tidak pernah menduga terpaksa mengharungi kehidupan sebagai seorang gelandangan pada penghujung usia.

Riak wajahnya juga berubah sedih setiap kali ditanya mengenai isteri dan anaknya.

Sementara itu, gelandangan kedua, Sulaiman, 55, (bukan nama sebenar) berkata, sebelum ini, dia bekerja sebagai pengayuh beca di Kuantan selama 30 tahun, namun khidmatnya tidak lagi mendapat sambutan, sejak beberapa tahun lalu.

“Dengan kecacatan tangan tangan kanan yang dialami sejak kecil, saya kini hanya mampu mencari rezeki dengan bekerja sebagai penjaga tandas dengan pendapatan tidak seberapa.

“Tanpa tempat tinggal, setiap malam saya terpaksa tidur di kaki lima tandas. Saya ditahan dalam operasi menyelamat gelandangan baru-baru ini.,” katanya yang tidak pernah berumahtangga.

Dia yang berasal dari Endau, Johor berkata, kebajikan yang disediakan di pusat gelandangan sementara itu begitu memuaskan, dengan makan minum disediakan empat kali sehari.

Selain itu, mereka menjalani pemeriksaan kesihatan setiap hari.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan