Belajar istiqamah

PENYANYI popular, Ernie Zakri dihujani ucapan tahniah dan syukur daripada peminat ketika kali pertama berkongsi mengenai penampilannya yang berhijab pada 24 Mac lalu.

Malah, keputusan penyanyi Gundah itu turut menimbulkan persoalan dalam kalangan segelintir pihak yang mengandaikan Erni, 28, atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri bakal berkahwin.

Bagaimanapun, Ernie berkata, itu bukan tujuannya berhijab sebaliknya dia mahu berubah menjadi insan yang lebih baik.

“Saya percaya, setiap keputusan baik yang dibuat seseorang bersebab. Macam saya pun, apabila memilih untuk bertudung sudah semestinya saya mahu menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

“Begitu juga apabila bercakap soal perkahwinan. Tentu saja seseorang itu perlu berubah ke arah kebaikan kerana tanggungjawab yang dipikul selepas itu berganda.

“Namun, penghijrahan saya ini tiada lain adalah untuk mendapat keredaan Allah SWT selain menjadikan ini fasa perubahan dalam hidup, katanya.

Apa yang pasti, penghijrahan yang dibuat pada minggu pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan itu dianggap proses pembelajaran.

Disebabkab itu, dari sehari ke sehari Erni yang juga mentor pada program Mentor Milenia 2019 sentiasa mengingatkan diri dan peminat bahawa dirinya bukan manusia sempurna.

“Saya tidak mahu ada salah faham yang mana apabila seseorang itu berhijab kehidupannya perlu berubah secara drastik dan mengharapkan kesempurnaan. Bagi saya, beri perluang dan jangan terlalu meletakkan harapan tinggi.

“Bukan apa, selagi kita bernama manusia pasti ada saja kesilapan dibuat. Cuma, apabila sudah berhijab ini tentu saja kita sudah mampu membataskan diri mana yang boleh dan tidak. Seperti dikatakan tadi, saya belajar secara perlahan-lahan.

“Saya cuba menjadi diri sendiri. Macam mana orang kenal saya dulu, begitu juga sekarang. Saya juga tidak pernah menyekat diri untuk berkawan dengan sesiapa. Saya tidak ada hak untuk menilai dan menentukan baik buruk seseorang itu, katanya.

Dapat pujian

Sejak kebangkitan Ernie dalam bidang muzik tempatan, kemunculan dan persembahannya di kaca TV sentiasa dinantikan peminat dan kebanyakan penyanyi tanah air.

Baik yang junior mahupun senior, rata-rata mengakui kelebihan vokal Ernie membuatkan dirinya berada di kelas tersendiri.

Terbaharu, dua penyanyi senior, Liza Hanim dan Misha Omar memuji vokal dimiliki Ernie menerusi sesi siaran langsung di Instagram Liza Hanim baru-baru ini.

Malah, sebelum ini penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza beberapa kali memuji kekuatan vokal dimiliki Ernie.

“Alhamdulillah, semua ini adalah anugerah Allah. Selebihnya, apa yang ada sekarang adalah berkat kerja keras dan usaha saya. Diakui, untuk berada pada tahap sekarang bukan mudah dan saya melalui satu proses yang panjang.

“Sejujurnya, saya segan apabila ada penyanyi senior yang memberikan pujian. Siapa saya untuk mendapatkan semua itu daripada mereka yang jauh lebih berpengalaman. Apa boleh dikatakan, saya berterima kasih dan bersyukur.

 AKSI Ernie bertudung.
AKSI Ernie bertudung.

“Saya anggap ia satu penghormatan. Tapi, saya masih banyak yang perlu dipelajari. Kalau boleh saya juga mahu menjadi seperti mereka yang kekal relevan, merendah diri dan diminati sehingga sekarang, katanya.

Dalam perkembangan lain, Ernie mengakui teruja apabila video muzik (MV) Gundah yang dilancarkan pada 27 Mac lalu mendapat maklum balas positif peminat.

Malah, MV yang turut menampilkan pelakon hebat, Zamarul Hisyam dan Fazlina Ahmad Daud itu masih trending di YouTube.

“Walaupun pada awalnya ramai keliru dan bertanya penampilan saya dalam MV itu, tapi selepas dijelaskan perkara sebenar baru mereka faham.

“Terima kasih kepada semua yang sudah menonton dan memberikan maklum balas. Apa saja komen, saya terima dengan hati terbuka dan cuba perbaiki segala kelemahan pada masa akan datang, katanya.