Beli iPhone, dapat meja kopi

Bangkok: Beli iPhone, tetapi yang sampai meja kopi.

Itu nasib remaja lelaki di Thailand yang terburu-buru melakukan pembelian telefon bimbit itu menerusi talian.

Portal OddityCentral melaporkan, remaja itu mendakwa membeli iPhone berkenaan selepas tertarik dengan tawaran harga murah.

Dia sedar ada sesuatu yang tidak kena berikutan kos penghantaran lebih mahal berbanding harga telefon itu.

Bagaimanapun, dia tidak bertanya kepada penjual dan meneruskan pembelian gajet berkenaan.

Menerusi laporan media tempatan, ketika memperoleh barangan itu, dia mendapati kotak iPhone itu hampir sama tinggi dengannya.

Remaja itu, yang namanya tidak didedahkan media, kemudian sedar ada sesuatu tidak kena.

Dia terfikir bahawa ia mungkin disebabkan tidak membaca keterangan produk dengan teliti sebelum melakukan pembelian.

Bagaimanapun, apabila membuka kotak itu, dia terkejut sebaik melihat iPhone idamannya adalah meja kopi.

Oriental Daily melaporkan remaja itu menyiarkan gambar diri dan pembeliannya di media sosial.

Kisah lucu itu menjadi tular di media sosial sebelum popular apabila dipaparkan di portal berita di pelbagai negara.